Hari Malaysia disambut meriah, penuh warna warni

Hari Malaysia disambut meriah, penuh warna warni

KOTA KINABALU, 17 Sept (Bernama) – Sambutan ulang tahun Hari Malaysia di Padang Merdeka di sini, Rabu berlangsung penuh meriah, berwarna warni dan dengan semangat patriotik apabila 50,000 rakyat pelbagai kaum hadir menyaksikan upacara bersejarah itu.

Lautan manusia yang rata-ratanya berbaju merah mula membanjiri lokasi sambutan sejak pukul 5 petang dan dihiburkan dengan acara prapersembahan termasuk daripada artis tempatan serta kumpulan Koir Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia diiringi Kombo Jabatan Penyiaran Sabah, sementara menunggu ketibaan tetamu kenamaan.

Mereka datang awal, termasuk ada yang membawa anak-anak kecil begitu ceria dan bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang terutamanya ketika lagu-lagu patriotik didendangkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan isteri Datin Seri Faridah Tussin tiba di Padang Merdeka pada 8.06 malam.

Golongan belia Sabah ceria dan bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Rabu. – Bernama
Golongan belia Sabah ceria dan bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Rabu. – Bernama

Hadir sama pada majlis itu Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar yang juga wakil Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Timbalan-timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin, Datuk Raymond Tan Shu Kiah, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan serta barisan menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan negeri

Acara sambutan dimulakan tepat 8.19 malam sejurus ketibaan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni, dengan nyanyian Lagu Negaraku diikuti lagu negeri Sabah Tanahairku serta tarian kebudayaan pelbagai kaum etnik di Malaysia.

Acara kemuncak hampir empat jam itu berakhir dengan pertunjukan bunga api selama lima minit.