Hari Menabung Kebangsaan dilancarkan

Hari Menabung Kebangsaan dilancarkan

Oleh Syahmi Hassan & Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Sikap menabung boleh dipupuk jika sudah terbiasa dan disertai dengan amalan berbelanja yang terancang serta berhemat sejak usia muda, ia boleh membawa kepada kesejahteraan kewangan. Perkara ini ditekankan oleh Pemangku Pengarah Urusan, Autoriti Monetari Brunei Darussalam, Hajah Nurliati binti Haji Mohd Idris pada Majlis Perasmian Hari Menabung Kebangsaan 2016 yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Kampung Perpindahan Lambak Kanan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan perasmian ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD).

Hajah Nurliati berkata, tema sambutan pada tahun ini iaitu ‘Generasi Celik Kewangan’ menggambarkan matlamat ke arah generasi yang boleh mengurus kewangan berhemat dan membudayakan amalan menabung yang berterusan.

“Amalan ini perlu disemai dan diterapkan dari sejak kecil lagi. Oleh itu, fokus utama Hari Menabung Kebangsaan pada tahun ini ialah pelajar dan penuntut sekolah.”

Tema berkenaan, tambahnya lagi, juga mendokong matlamat ‘Wawasan 2035’ khususnya dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Pehin ketika merasmikan Hari Menabung Kebangsaan 2016.
Yang Berhormat Pehin ketika merasmikan Hari Menabung Kebangsaan 2016.

Dalam menjaga kestabilan kewangan, AMBD juga berperanan dalam usaha-usaha melindungi dan memelihara kesejahteraan orang ramai dari segi kewangan misalnya melalui beberapa peraturan yang mengelakkan tabiat hutang berlebihan.

“Oleh yang demikian, inisiatif-inisiatif seperti acara pada pagi ini akan dapat menggalakkan pengurusan kewangan dan perbelanjaan yang berhemat, meningkatkan celik kewangan dan kesedaran orang ramai mengenai produk dan perkhidmatan kewangan yang ditawarkan di Negara Brunei Darussalam dan sikap berbelanja mengikut kemampuan, lebih-lebih lagi dalam keadaan suasana ekonomi dunia yang semakin mencabar.”

Menurutnya, sepanjang bulan Mei ini, beberapa program dan aktiviti termasuk jerayawara ke beberapa buah sekolah di keempat-empat daerah, Financial Funfair di Jerudong Park dan Seminar Perancang Kewangan akan diadakan.

Hari Menabung Kebangsaan 2016 merupakan anjuran AMBD dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Tabung Amanah Pekerja (TAP).

Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah, ahli-ahli Lembaga Pengarah AMBD yang lain, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, para pegawai kanan kerajaan, ketua-ketua eksekutif institusi kewangan di Negara Brunei Darussalam, para jemputan lain, guru-guru dan murid sekolah-sekolah rendah.

Majlis perasmian berkenaan turut diisikan dengan pameran yang disertai oleh AMBD, TAP dan institusi-institusi kewangan kerajaan, di mana para pelajar dapat menyertai beberapa permainan interaktif bertemakan pengurusan kewangan dan pengenalan mata wang.

Sempena sambutan ini, AMBD dengan kerjasama Kementerian Pendidikan akan mengadakan jerayawara di keempat-empat daerah iaitu pada 9 Mei ini di Daerah Temburong yang diikuti dengan Daerah Brunei dan Muara pada 11 Mei, Daerah Belait pada 16 Mei dan Daerah Tutong pada 18 Mei.

Manakala itu, Hari Perancang Kewangan anjuran Pusat Perbankan Islam, Kewangan dan Pengurusan akan diadakan pada 26 Mei dan Financial Planners’ Showcase pada 28 Mei 2016.

Untuk makluman lanjut mengenai Hari Menabung Kebangsaan 2016, orang ramai boleh melayari laman web www.ambd.gov.bn atau menghubungi AMBD melalui e-mel corpcomms@ambd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA