Hari Penderma Darah dapat sambutan ramai

Hari Penderma Darah dapat sambutan ramai

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Sim Y.H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jun – Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2015 yang berlangsung selama dua hari di Dewan Al’Afiah Kementerian Kesihatan, bermula kelmarin, mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

Sementara itu, hari ini, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof turut mengadakan lawatan ke dewan berkenaan untuk melihat lebih dekat suasana sambutan seterusnya beramah mesra dengan penderma darah bagi daerah ini.

Penyelia Pusat Pendermaan Darah, Haji Iqmal bin Haji Ismail ketika ditemui menjelaskan, sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2015 yang diadakan di keempat-empat daerah pada tahun ini mencatat jumlah yang tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Pada hari pertama kempen derma darah dibuka di dewan ini, kelmarin seramai 213 penderma darah yang berumur 17 tahun ke atas tidak melepaskan peluang menderma darah bagi membantu orang yang memerlukannya dan pada hari ini sahaja, seramai 50 orang penderma telah membuat pendaftaran untuk menderma darah, jelasnya.

Yang Berhormat Pehin mengadakan lawatan ke kempen derma darah sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2015.
Yang Berhormat Pehin mengadakan lawatan ke kempen derma darah sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2015.
Antara penderma darah yang tidak melepaskan peluang mereka menderma darah.
Antara penderma darah yang tidak melepaskan peluang mereka menderma darah.

Hari Penderma Darah Sedunia 2015 yang dilancarkan pada 14 Jun 2015 itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti untuk orang ramai antaranya pameran, pemeriksaan kesihatan dan ceramah mengenai derma darah.

Darah diperlukan bukan sahaja untuk menyelamatkan nyawa di masa kecemasan tapi ia diperlukan setiap hari untuk menstabilkan pesakit yang memerlukan pemindahan darah dengan segera atau secara kerap antaranya seperti pesakit Thalassaemia, Hemophilia, pesakit kanser dan kemalangan.

Sehubungan dengan itu, Pusat Pendermaan Darah berharap lebih ramai individu yang sihat untuk tampil menjadi penderma darah sukarela bagi sama-sama membantu menyelamatkan nyawa dan kehidupan pesakit berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA