Hari Perkhidmatan Awam diingati

Hari Perkhidmatan Awam diingati

Oleh Yusrin Junaidi & Anwar Rosly

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-22 ini, pelbagai majlis keagamaan diadakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri secara serentak di seluruh negara.

Bagi Daerah Brunei Muara, majlis diselitkan dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah dan doa kesyukuran di Masjid Ash-Shaliheen yang dihadiri oleh Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar selaku tetamu kehormat.

Lebih 200 orang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan, kakitangan dan jemputan lainnya menyertai majlis itu.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Abdul Wahab bin Juned selaku penasihat bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-22.

Solat berjemaah di Masjid Ash-Shaliheen bagi Daerah Brunei dan Muara.
Solat berjemaah di Masjid Ash-Shaliheen bagi Daerah Brunei dan Muara.
Awang Abdul Mutalib di majlis yang diadakan di Daerah Belait.
Awang Abdul Mutalib di majlis yang diadakan di Daerah Belait.

Sementara itu di Daerah Belait pula diisikan dengan majlis solat Fardu Maghrib dan Isyak berjemaah diikuti dengan bacaan Surah Yasin di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan dihadiri Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof selaku tetamu kehormat.

Di Daerah Tutong pula, Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Juanda bin Haji A Rashid memeriahkan acara keagamaan itu, manakala Daerah Temburong pula menyaksikan kehadiran Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof.

Majlis keagamaan seumpama ini merupakan aktiviti tahunan bagi Hari Perkhidmatan Awam yang bertemakan ‘Urustadbir Yang Dinamik Ke Arah Kesejahteraan Negara’.

ARTIKEL YANG SAMA