Hari Puja Usia Baginda Raja Isteri

Hari Puja Usia Baginda Raja Isteri

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, hari ini, telah berkenan berangkat ke Majlis Meraikan Hari Puja Usia Baginda yang telah berlangsung di Royal Berkshire, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.

Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Norhayati, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.

Majlis petang tadi itu dianjurkan oleh Kumpulan Isteri-isteri Menteri Kabinet, Isteri-isteri Timbalan-timbalan Menteri Kabinet, Isteri-isteri Setiausaha-setiausaha Tetap, Isteri-isteri Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan ahli-ahli bersekutu.

Menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain ialah Pengerusi Kumpulan, Datin Paduka Hajah Jahrah binti Haji Mohamad dan isteri-isteri para Menteri kabinet.

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan memotong kek puja usia Baginda yang berlangsung di Royal Berkshire, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan memotong kek puja usia Baginda yang berlangsung di Royal Berkshire, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima pesambah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima pesambah.
Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja lain berkenan menerima junjung ziarah.
Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja lain berkenan menerima junjung ziarah.
Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berserta kerabat diraja yang lain.
Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berserta kerabat diraja yang lain.
Baginda Raja Isteri berkenan bergambar ramai semasa Majlis Meraikan Hari Puja Usia Baginda.
Baginda Raja Isteri berkenan bergambar ramai semasa Majlis Meraikan Hari Puja Usia Baginda.
Persembahan sempena Hari Puja Usia Baginda Raja Isteri.
Persembahan sempena Hari Puja Usia Baginda Raja Isteri.

Datin Paduka Hajah Jahrah dalam sembah alu-aluannya melahirkan perasaan syukur dan gembira serta menyembahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan selamat puja usia kepada Baginda Raja Isteri.

Beliau juga menyembahkan beberapa kegiatan yang telah dilaksanakan oleh kumpulan berkenaan sepanjang tahun 2015 yang termasuk lawatan di dalam negeri iaitu ke Daerah Tutong.

Melalui lawatan ini, sembah beliau, ahli-ahli kumpulan berkesempatan meninjau beberapa aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh beberapa buah mukim dan kampung yang dilawati di bawah Projek Satu Kampung Satu Produk.

Pada masa yang sama, ahli-ahli dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim dengan beramah-mesra dengan penduduk di mukim dan kampung berkenaan. Kumpulan berkenaan juga telah dapat menyumbangkan sedikit derma kepada mereka yang memerlukan.

“Dalam bulan Ogos yang lepas, ahli-ahli kumpulan ini telah membuat lawatan ke Pusat Perempuan dan Kanak-kanak Rumah Sakit Raja Isteri Pengiran Anak Saleha yang bertujuan untuk melihat dengan lebih dekat perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan di samping menghulurkan sumbangan kepada pusat berkenaan.”

Beliau menyembahkan lagi, aktiviti lain yang telah diusahakan termasuk kursus Fardu Kifayah dan ceramah keagamaan bagi ahli-ahli yang belum berkesempatan untuk mengikuti kursus ini.

Sejurus selepas sembah alu-aluan, Baginda Raja Isteri kemudian berkenaan menerima Kad Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan berkenan memotong Kek Hari Puja Usia Baginda, serta berkenan menerima pesambah daripada ahli-ahli kumpulan.

Majlis diserikan lagi dengan beberapa persembahan oleh ahli-ahli kumpulan termasuk persembahan nyanyian ramai serta solo.

Turut disembahkan adalah lagu Sembah Kasih yang dicipta khas bagi meraikan Hari Puja Usia Baginda Raja Isteri. Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima junjung ziarah dan beramah-mesra dengan ahli-ahli kumpulan.

ARTIKEL YANG SAMA