Hari Raya bersama Jabatan Buruh

Hari Raya bersama Jabatan Buruh

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) hari ini menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama orang ramai dalam majlis yang diadakan di Bangunan Jabatan Buruh, Jalan Dewan Majlis.

Tetamu kehormat semasa sambutan tersebut ialah Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Awang Zulhilmi bin Haji Abidin.

Majlis sambutan bermula dengan ucapan pengerusi sambutan dan tayangan klip video ucapan raya setiap bahagian dan cawangan Jabatan Buruh.

Acara kemudian diteruskan dengan tetamu kehormat, pegawai dan kakitangan menikmati jamuan Hari Raya di ruang legar Jabatan Buruh sambil beramah mesra dengan orang ramai yang hadir pada waktu berkenaan.

Pemangku Pesuruhjaya Buruh bergambar ramai bersama kakitangan Jabatan Buruh.
Pemangku Pesuruhjaya Buruh bergambar ramai bersama kakitangan Jabatan Buruh.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, seperti pada tahun yang sudah, Jabatan Buruh masih lagi mengekalkan tema ‘Ramah Mesra Bersama Pelanggan’, yang antara lain bertujuan untuk meraikan Aidilfitri dan mengeratkan silaturahim antara pegawai/kakitangan Jabatan Buruh dan pelanggan/majikan serta orang ramai yang datang ke Jabatan Buruh semasa sambutan diadakan.

Di samping itu, orang ramai juga berpeluang untuk bertanyakan kepada pegawai dan kakitangan jabatan mengenai hal ehwal perburuhan seperti dasar-dasar baru, peranan, fungsi dan inisiatif terkini Jabatan Buruh.

Pelbagai jenis makanan dan minuman dihidangkan di pondok-pondok yang disediakan oleh setiap bahagian dan cawangan Jabatan Buruh untuk memberikan orang ramai pilihan yang lebih menarik.

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi hiasan pondok paling cantik, yang dimenangi oleh gabungan cawangan Jabatan Buruh Tutong dan Temburong manakala klip video ucapan raya terbaik dimenangi oleh Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja.