Hari Tanpa Kereta jadikan Ipoh Bandar Rendah Karbon

Hari Tanpa Kereta jadikan Ipoh Bandar Rendah Karbon

IPOH, 18 Okt – Program Hari Tanpa Kereta akan menjadikan bandar raya Ipoh sebagai Bandar Rendah Karbon sekali gus mewujudkan Komuniti Rendah Karbon dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata program ini bertujuan untuk menerap amalan gaya hidup sihat dan membolehkan mereka berinteraksi walaupun tidak mengenali antara satu sama lain sekali gus mempertingkat semangat perpaduan di kalangan masyarakat.

“Ini kerana mereka boleh beriadah di jalan raya menggunakan basikal, kasut roda, papan selaju, berjalan dan berjoging dalam keadaan selamat dan selesa tanpa kenderaan.

“Kita juga menerima maklum balas yang positif daripada pelbagai pihak mengenai program ini termasuk Sultan Perak (Sultan Nazrin Shah) yang berhasrat untuk bersama-sama menjayakan program sebegini pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program itu di Padang Ipoh di sini, hari ini.

Kira-kira 5,000 orang menyertai program yang turut disertai Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man, anggota exco kerajaan negeri, serta ketua-ketua jabatan.

Antara aktiviti yang diadakan ialah berbasikal, berjalan kaki, berkasut roda, menaiki papan selaju, senam robik, berkuda dan aktiviti lain yang sesuai di jalanan.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata kerajaan negeri sedang dalam perancangan untuk menjadikan Ipoh sebagai bandar raya hijau tidak lama lagi. – Bernama