Hari Teknikal ABB tampil teknologi terkini

Hari Teknikal ABB tampil teknologi terkini

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Sept – Asea Brown Baveri (ABB), sebuah koperasi multinasional yang berpusat di Switzerland, hari ini, telah mengadakan Hari Teknikal di mana pelbagai kemajuan produk dan teknologi dalam penjimatan tenaga ditampilkan.

Merasmikan acara berkenaan yang diadakan di The Rizqun International Hotel, Gadong, ialah Perwakilan ABB (Brunei) Bobby Ong.

Ketua Pegawai Kewangan ABB (Singapura), William Ng, ketika menyampaikan ucapan di hadapan para pegawai dan kakitangan kerajaan berkata, Brunei Darussalam merupakan salah satu rakan ABB yang penting dan mereka menyasarkan lebih banyak yang boleh dibuat di negara ini terutama dalam aspek penjimatan tenaga.

Menurutnya, ketika pasaran minyak merudum kini, permintaan bagi penjimatan sumber tenaga secara berkesan meningkat begitu juga hasil produktiviti perindustrian.

Bobby Ong (kiri) dan William Ng  menyampaikan ucapan semasa perasmian Hari Teknikal Koperasi ABB.
Bobby Ong (kiri) dan William Ng menyampaikan ucapan semasa perasmian Hari Teknikal Koperasi ABB.
Antara yang hadir pada acara berkenaan.
Antara yang hadir pada acara berkenaan.

“Cabaran seperti ini tidak akan mempengaruhi tanggungjawab ABB terutama dalam memelihara dan melindungi alam sekitar,” ujarnya.

Beliau turut berkata bahawa, Brunei mempunyai sasaran untuk menurunkan intensiti tenaga kebangsaan menjelang tahun 2030 dan pelan memperbaiki keberkesanan dan penjimatan tenaga sudah pun dirangka.

“Ia merupakan sasaran yang mencabar namun saya percaya dengan teknologi yang ada pada ABB, ia akan dapat membantu negara ini mencapai hasrat itu berdasarkan pengalaman ABB dalam industri tenaga,” katanya lagi.

ABB, katanya, mempunyai keupayaan dalam penghasilan teknologi robot pada peringkat global dan merupakan pihak pertama yang memperkenalkan robot industri bertangan dua.

Acara berkenaan turut menyaksikan pembentangan kertas kerja dan taklimat mengenai isu utama yang berkaitan dengan penjimatan tenaga, penjanaan tenaga dan cara penyelesaian di pandangan mata pakar.

Hari Teknikal itu bertujuan untuk membantu para pelanggan mengetahui dengan lebih dalam mengenai teknologi terkini ABB sekali gus mendedahkan para peserta kepada trend penjimatan tenaga masa kini.

ARTIKEL YANG SAMA