Hari Terbuka DBP galak membaca

Hari Terbuka DBP galak membaca

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 24 April – Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Kampung Pandan, Kuala Belait, hari ini, telah mengadakan Hari Terbuka bertema ‘Sioknya Membaca’ sempena Hari Buku Sedunia.

Murid-murid dari tiga buah sekolah iaitu Sekolah Tunas Jaya PGGMB, Sekolah Arab Belait dan Sekolah Rendah Pengiran Setia Jaya Pengiran Abdul Momin telah dipelawa mengikuti pelbagai aktiviti seperti melukis, mencari petikan dari pada buku, kuiz dan sebagainya di samping membaca bahan buku yang disediakan.

Pembantu Perpustakaan Tingkat I, Dayang Zaiton binti Haji Nappy ketika ditemui berkata, semasa menjalankan aktiviti kuiz dan pembacaan buku-buku hasil karya penulis tempatan, didapati ramai kalangan pelajar dan guru mereka kurang tahu akan penulis-penulis tempatan dan buku-buku hasil karya mereka yang dipaparkan di atas meja.

“Bila mereka baru melihat buku-buku terbitan tempatan, mereka terkejut dan mulai membacanya dan mula menunjukkan minat dan sifat ingin tahu mengenai latar belakang penulis tempatan serta buku mereka yang diterbitkan.”

Dayang Zaiton menekankan DBP berusaha mempamerkan karya penulis tempatan.
Dayang Zaiton menekankan DBP berusaha mempamerkan karya penulis tempatan.

Justeru itu, ujarnya lagi, dengan mempamerkan karya-karya hasil penulis tempatan pada acara itu, diharap akan dapat menjadi pencetus minat untuk anak-anak sekolah menggiatkan diri dalam bidang penulisan cerita-cerita menarik mereka sendiri seperti fiksyen, novel dan sebagainya.

“Ahli-ahli perpustakaan yang meminjam buku-buku dari perpustakaan di sini kebanyakannya yang membaca bahan bacaan dari luar negara, maka kami ingin mendedahkan buku-buku terbitan tempatan pada hari ini agar anak-anak sekolah akan dapat berpeluang untuk membacanya dan juga ‘membiasakan’ diri untuk meminjam buku-buku tersebut,” tambahnya lagi.

Generasi masa kini terutamanya pelajar-pelajar sekolah digalakkan untuk meningkatkan minat terhadap bidang penulisan supaya akan dapat menceburi bidang berkenaan pada masa hadapan sebagai pelapis dan pengganti penulis-penulis tempatan sekarang.

Justeru itu dengan mempamerkan karya-karya hasil penulis tempatan di sini ianya diharapkan akan dapat menjadi pencetus minat anak-anak sekolah menggiatkan diri dalam bidang penulisan.

ARTIKEL YANG SAMA