Hari terbuka Pusat Belia

Hari terbuka Pusat Belia

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Pusat Belia Bandar Seri Begawan, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, hari ini mengadakan Hari Terbuka di Dewan Riadah pusat berkenaan, bersempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-10 yang membawa tema ‘Belia Berwawasan Menjana Ekonomi’.

Perasmian acara berkenaan telah disempurnakan oleh Pengarah Belia dan Sukan, Haji Abdul Malik bin Haji Mohammad selaku tetamu kehormat majlis.

Setiausaha bersama acara berkenaan, Pengiran Haji Norahalim bin BPHA Rahman, berkata penganjuran acara berkenaan bertujuan untuk memberigakan Sambutan Hari Belia Kebangsaan dalam kalangan orang ramai khasnya para belia dan beliawanis.

Di samping, ia juga untuk memberigakan Pusat Belia sebagai pusat aktiviti kepada para belia selain sebagai pelan strategi penjenamaan semula Pusat Belia serta menyahut cabaran untuk memperkukuhkan misi supaya lebih sesuai dengan perubahan semasa iaitu ‘Memudah Cara dan Memangkin Pembangunan Belia Melalui Penyediaan Perkhidmatan Berkualiti’ yang akan menjadi aras dan hala tuju Pusat Belia.

Haji Abdul Malik (kanan) ketika mengunjungi Hari Terbuka Pusat Belia.
Haji Abdul Malik (kanan) ketika mengunjungi Hari Terbuka Pusat Belia.

Objektifnya pula adalah untuk melahirkan para belia yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial selaras dengan Falsafah Melayu Islam Beraja, memupuk semangat setia kawan dan berpasukan serta melahirkan para belia yang berketerampilan dan mempunyai disiplin yang tinggi.

Selain itu, ia juga diharap dapat membentuk para belia untuk berdikari menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada kerajaan mahu pun ibu bapa.

Sebanyak 26 petak jualan dan pameran telah disediakan dalam acara berkenaan dan antara pesertanya ialah Brunei Hotwheels Club, Brunei Fifa PS 4 Club, Persatuan Orang Kurang Pendengaran Kebangsaan, Persatuan 3P, Poni Divers Sdn Bhd, BPY SSEAYP 2014, BPY SSEAYP 2015 dan banyak lagi.

ARTIKEL YANG SAMA