Hari Terbuka Sekolah St. James

Hari Terbuka Sekolah St. James

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 10 Ogos – Sebagai usaha untuk memberikan peluang kepada ibu bapa dan penjaga para pelajar mendapatkan maklumat lanjut, sebelum membuat keputusan menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah berkenaan, Sekolah St. James telah membuat inisiatif mengadakan Majlis Hari Terbuka, hari ini.

Selain itu, Hari Terbuka sekolah itu dihasrat untuk memberikan makluman tentang kualiti sekolah yang sentiasa memenuhi keperluan pelajar sebagai salah sebuah institusi pendidikan formal yang terbaik di negara ini.

Pengetua Sekolah St. James, Haji Muhd Masa Masdi bin Mohd Sa’idun, memberitahu, tahun ini mereka menamakan acara itu sebagai Hari Terbuka Plus kerana telah menambah Galeri Kehidupan.

Menurutnya, pada tahun lepas galeri tersebut telah diketengahkan dengan kegiatan Minggu Bahasa Inggeris, bermakna sekolah itu telah menambah lebih banyak lagi aktiviti dan programnya pada majlis tersebut tahun ini, dan berharap ibu bapa serta para pelajar dapat melihat secara meluas dan dengan lebih dekat apa yang ditawarkan di sekolah tersebut.

Haji Muhd Masa Masdi semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Plus Sekolah St. James, Kuala Belait.
Haji Muhd Masa Masdi semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Plus Sekolah St. James, Kuala Belait.
Antara persembahan menarik semasa Hari Terbuka Plus Sekolah St. James.
Antara persembahan menarik semasa Hari Terbuka Plus Sekolah St. James.
Persembahan mencuit hati daripada murid-murid sekolah berkenaan.
Persembahan mencuit hati daripada murid-murid sekolah berkenaan.

Di samping itu, katanya, Hari Terbuka itu juga memberikan peluang kepada ibu bapa yang ingin mendaftarkan anak-anak mereka belajar di sana bagi sesi tahun 2017, dan dalam masa yang sama mereka dapat berkongsi pengalaman tentang keupayaan yang mampu diberikan oleh sekolah tersebut kepada masyarakat sekeliling selain dengan mendedahkan pelajar-pelajar mereka untuk berinteraksi dengan orang ramai melalui pelbagai aktiviti dan permainan yang telah disediakan pada acara hari itu.

Semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya pada majlis perasmian Hari Terbuka Plus itu, Haji Masa Masdi juga berkata, Sistem Pendidikan Abad Ke-21 (SPN 21) adalah penting bagi negara ini, dan sekolah itu juga memainkan peranan sebagai salah sebuah institusi yang memastikan kejayaan para pelajarnya.

Pelbagai aktiviti dan permainan telah menceriakan lagi Hari Terbuka Plus sekolah tersebut, yang turut menampilkan bakat dalam kalangan murid dan pelajarnya, termasuklah penyertaan murid-murid kelas tadika, rendah bawah, rendah atas dan menengah selain turut disertai sama oleh guru-gurunya.

Hari Terbuka Plus Sekolah St. James itu turut membukakan bahagian pendaftaran kemasukan pelajar-pelajar bagi tahun depan.

ARTIKEL YANG SAMA