Hari Wanita A’bangsa tetap diingati

Hari Wanita A’bangsa tetap diingati

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 11 Mac – Walaupun jauh dari negara asal, seorang warga Netherland tetap memelihara tradisinya menyambut Hari Wanita Antarabangsa walau di mana pun beliau berada, termasuk di Negara Brunei Darussalam pada tahun ini.

Marion de Brabander yang berada di negara sejak hampir setahun lalu untuk bertugas sebagai Guru Pengajar Program Pembelajaran Awal di CFBT Seria, memberitahu Media Permata, hari ini, bahawa beliau sentiasa memperingati sambutan Hari Wanita Antarabangsa sebagai satu tradisi.

Menurutnya, di sesetengah negara, ia disambut dengan acara besar-besaran, ada juga yang menyambutnya dengan hanya mengadakan acara sederhana sesama rakan-rakan sekerja atau kawan-kawan yang dikenali.

“Untuk memperingati sambutan itu, pada tahun ini, saya telah menganjurkan acara makan tengah hari di rumah saya, dengan mengundang kawan-kawan kenalan wanita yang mempunyai latar belakang datang dari negara berbeza dan berlainan agama, seperti Pakistan, Malaysia, Jepun, Netherland dan juga Brunei serta China,” katanya.

Menambah ceriakan lagi acara sambutan itu ialah setiap wanita yang datang membawa hidangan tradisi negara masing-masing yang diperbuat daripada berbagai-bagai ramuan, di samping ada yang memakai pakaian tradisi negara masing-masing.

Sambutan tersebut turut membuka peluang untuk saling mengenali para wanita antara satu sama lain.
Sambutan tersebut turut membuka peluang untuk saling mengenali para wanita antara satu sama lain.

“Daripada majlis itu, kami berpeluang mengenali antara satu sama lain, dan perjumpaan mereka itu diisikan dengan acara kuiz di mana kami turut menambah pengetahuan melalui fakta yang menarik.

“Sebagai contoh, dalam tahun 2006 Anousheh Ansari dari Amerika Syarikat merupakan wanita Islam pertama pergi ke Angkasa Lepas, selain itu, menurut penyelidik, secara purata, wanita meluangkan masa kira-kira 120 jam dalam setahun melihat dirinya di cermin, ia juga melucukan dan kami mula berseronok dengan gelak ketawa, dan sedikit sebanyak dapat meringankan rasa penat setelah bekerja sepanjang minggu,” tambahnya.

Beliau juga memberitahu, baginya, Hari Wanita perlu diperingati, kerana mereka juga telah banyak menyumbang dengan cara mereka sendiri, selain yang paling istimewa, wanita adalah individu yang bergelar ibu, dengan menekankan ‘tanpa ibu kita tidak ada di sini’.

Majlis sambutan itu kemudian turut diisikan dengan satu perbincangan yang menarik berhubung kait dengan peranan wanita dan mengimbau sejarah Hari Wanita Antarabangsa mula diraikan pada tahun 1911.

Marion turut melahirkan harapan bahawa beliau akan berpeluang menyambut Hari Wanita Antarabangsa pada tahun hadapan, dan berharap ia akan lebih besar dan melibatkan lebih ramai wanita di Brunei yang menyertainya.

ARTIKEL YANG SAMA