Harimau jantan cedera terkena jerat khinzir

Harimau jantan cedera terkena jerat khinzir

SUNGKAI, 16 Feb – Seekor harimau jantan yang cedera di kaki akibat terkena perangkap khinzir di Ladang Eden Batu 10, Jalan Pahang, Tapah, Ahad lalu kini berada dalam keadaan stabil.

Pengarah Jabatan Perhilitan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Rozidan Md Yasin berkata akibat kecederaan, harimau yang diberi gelaran ‘Yeop Tapah’ itu mengalami bengkak di kaki, namun tidak mengundang risiko kecacatan.

“Kami akan melakukan pemerhatian ke atas harimau itu selama 14 hari,” katanya kepada pemberita selepas melawat harimau itu di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), di sini hari ini.

Rozidan berkata ‘Yeop Tapah’ berkemungkinan besar terus ditempatkan di pusat berkenaan memandangkan haiwan yang terkena jerat agak berbahaya kepada orang awam apabila dilepaskan ke habitat asal.

Harimau seberat kira-kira 170 kilogram itu dibebaskan semalam setelah terperangkap dalam jerat dawai yang dipasang seorang penduduk Orang Asli untuk menangkap khinzir.

Harimau belang jantan yang cedera terkena perangkap khinzir, menerima rawatan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan Sungkai hari ini dan berada dalam keadaan sihat. – Bernama
Harimau belang jantan yang cedera terkena perangkap khinzir, menerima rawatan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan Sungkai hari ini dan berada dalam keadaan sihat. – Bernama

Menjelas lanjut mengenai insiden itu, Rozidan berkata pihaknya akan mengambil tindakan terhadap penduduk Orang Asli yang memasang jerat sehingga menyebabkan harimau tersebut terperangkap dan cedera.

Katanya soal siasat telah dibuat dan siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 29 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA