Harimau Malaya kempunan tiga mata

Harimau Malaya kempunan tiga mata

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) – Malaysia gagal menyempurnakan kelebihan di laman sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Timor Leste pada perlawanan pembukaan kumpulan A, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam ini.

Pasukan pelawat memanfaatkan empat minit masa tambahan yang diberikan pengadil perlawanan dengan sebaik mungkin untuk menidakkan hasrat Harimau Malaya mengutip tiga mata penuh.

Timor Leste bermula agak garang apabila Diogo Santos Rangel yang tidak dikawal hampir meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada awal minit permainan namun percubaannya jauh melewati palang gol.

Skuad kebangsaan yang memulakan permainan dalam keadaan berhati-hati di awalnya, bangkit pada minit ke-24 apabila Mohd Safee Sali cuba membuat hantaran silang kepada Indra Putra Mahyuddin namun gagal dibaca pemain dari pasukan Felda United itu.

Dalam memburu gol pendahulu, skuad negara seakan leka di bahagian pertahanan yang hampir menyebabkan gol dibolosi pada minit ke-28, namun sepakan pemain Timor Leste, Patrick Fabiano tersasar dari pintu gol.

Aksi menarik Harimau Malaya menentang Timor Leste di Stadium Bukit Jalil semalam. – Bernama
Aksi menarik Harimau Malaya menentang Timor Leste di Stadium Bukit Jalil semalam. – Bernama

Percubaan Malaysia ke arah gawang lawan ternyata membuahkan hasil apabila Mohd Safee menyempurnakan bola muntah hasil percubaan Mohd Amri Yahyah yang gagal ditangkap penjaga gol Timor Leste, Ramos Sauzinho Ribeiro Maxanche pada minit ke-33.

Empat minit sebelum perlawanan separuh masa pertama tamat, Timor Leste nyaris menyamakan kedudukan menerusi Patrick yang menerima hantaran silang Jose Carlos Da Fonseca, namun rakannya itu terlebih dahulu dikesan dalam posisi ofsaid.

Babak kedua menyaksikan skuad bimbingan Dollah Salleh merangka strategi dengan melakukan beberapa pertukaran untuk mengukuhkan jentera serangan dan tengah dengan memasukkan Azammuddin Mohd Akil, Mohd Nazrin Mohd Nawi dan Muhammad Afiq Azmi.

Rembatan bekas pemain import Selangor, Junior Aparecido Gumaro De Souza sekali lagi mendebarkan penonton pada minit ke 76, namun palang gol menjadi penyelamat kepada Khairul Fahmi Che Mat.

Muhammad Afiq mempunyai dua peluang terbaik pada minit ke-84 dan 85 di hadapan pintu gol, namun gagal melakukan penyudahan yang baik untuk menambah jaringan.

Kesilapan pemain pertahanan Malaysia telah menghadiahkan tendangan percuma di sebelah kanan pintu gol yang ditanduk kemas pemain pertahanan Ramon De Lima Saro dalam masa tambahan.

Satu lagi perlawanan kumpulan A akan berlangsung pada pukul 9 malam waktu tempatan di antara Arab Saudi menentang Palestin di Stadium Prince Mohamed bin Fahd Dammam.

Malaysia diundi dalam kumpulan A bersama Timor Leste, Arab Saudi, Palestin dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

ARTIKEL YANG SAMA