Harimau Malaysia kerja keras

Harimau Malaysia kerja keras

PETALING JAYA, 15 April (Bernama) – Sebanyak 10 perlawanan persahabatan antarabangsa sudah dirancang untuk skuad kebangsaan dalam usaha memperbaiki kedudukan memalukan Malaysia di tempat ke-174 dalam ranking dunia.

Langkah segera diambil oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu adalah berikutan kritikan hebat daripada orang ramai terhadap prestasi skuad Harimau Malaysia.

Malaysia yang kini berada di kedudukan paling buruk dalam ranking dunia, sudah merencana 10 perlawanan persahabatan antarabangsa Kelas A dan kem latihan pusat skuad kebangsaan selama 129 hari.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berkata langkah pertama adalah perlawanan persahabatan dengan Myanmar yang berada di ranking ke-166 dunia di Yangon pada 27 Mei, sebelum menghadapi aksi kelayakan ketiga Piala Asia 2019 berdepan Timor Leste pada 2 dan 7 Jun.

Kim Swee berkata FAM juga sudah berusaha mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan lain, namun mereka sibuk dengan perlawanan liga dan serantau masing-masing, dan hanya Myanmar pasukan yang sesuai sebagai persediaan pemain negara sebelum menentang Timor Leste.

Setiausaha Agong Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri) memberi penerangan kepada wartawan pada sidang media bulanan skuad kebangsaan di Wisma FAM semalam. Turut hadir Jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee (kanan). – Bernama
Setiausaha Agong Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri) memberi penerangan kepada wartawan pada sidang media bulanan skuad kebangsaan di Wisma FAM semalam. Turut hadir Jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee (kanan). – Bernama

Selain itu, FAM juga memutuskan tidak mahu membuang masa dalam tempoh rehat selama sebulan Liga Super dan Perdana ketika bulan Ramadan, dengan mengadakan perlawanan persahabatan berdepan Papua New Guinea (17 Jun), New Caledonia (22 Jun) dan Fiji (26 Jun) semasa Jelajah Ocenia selama 17 hari.

“Memang ada mempersoalkan kenapa kita bertemu tiga lawan lebih rendah ranking berbanding kita. Tapi semua kena faham, skuad Harimau Malaysia dalam proses membina semula keyakinan, reputasi pasukan dan juga mendapatkan rentak kemenangan,” katanya pada sidang media bulanan FAM yang pertama di Wisma FAM di Kelana Jaya, hari ini.

“Jadi saya fikir selepas perlawanan play-off menentang Timor Leste, tiga aksi persahabatan dengan pasukan dari Oceania itu penting untuk saya menguji pemain dan pada masa sama, kita memerlukan kemenangan bagi memperbaiki ranking.

“Selepas tiga perlawanan pada bulan puasa ini, saya sudah merancang perlawanan lain bagi mengisi kesemua tarikh dalam kalendar FIFA sepanjang 2016, dan tarikh akan dimaklumkan selepas mendapat pengesahan,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA