Harimau M’sia buru kemenangan

Harimau M’sia buru kemenangan

PETALING JAYA, 27 Sept – Ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mengintai kemenangan ke atas Singapura dan Afghanistan pada dua aksi persahabatan antarabangsa kelas ‘A’, bulan depan.

Beliau berkata kemenangan dalam dua aksi persahabatan itu penting bagi memperbaiki kedudukan Malaysia yang berada pada posisi ke-158 dunia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi September.

“Kemenangan pada dua perlawanan ini amat penting kerana akan memperbaiki kedudukan ranking pasukan kita pada posisi lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita pada hari pertama sesi latihan skuad kebangsaan di padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Kelana Jaya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kim Swee berharap lima muka baharu yang dipanggil menjalani kem latihan pusat kali ini dapat membuktikan keupayaan mereka untuk terus berada dalam skuad kebangsaan.

Lima muka baharu itu ialah Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri dari Perak, Muhammad Hadin Azman (Felda United), Ahmad Khuzaimi Piee (Melaka) serta dua pemain Kedah, Mohd Rizal Mohd Ghazali dan Mohd Syazwan Zainon.

“Ini peluang terbaik untuk membuktikan kemampuan mereka dengan pemain sedia ada sebelum saya menamakan senarai akhir 25 pemain November ini untuk Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki (di Myanmar) pada Disember.

“Mereka perlu menanamkan semangat juang tinggi untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama dan saya harap pemain dipanggil kali ini dapat beraksi dengan baik ketika kita berdepan dengan Singapura dan Afghanistan nanti,” katanya.

Mengenai penyenaraian pemain Johor Darul Ta’zim II (JDT II) Darren Lok, Kim Swee menjelaskan pemain berdarah kacukan Malaysia-England itu dipilih pada sesi latihan pusat kali ini kerana beliau mempamerkan aksi cemerlang bersama pasukannya walaupun baru empat bulan berada di Malaysia.

“Beliau bersama JDT II sejak empat ke lima bulan lepas. Sementara kita menunggu beliau mendapat taraf kerakyatan Malaysia, saya menghantar pembantu saya, Brad Maloney melihat Lok beraksi selama 45 minit bersama JDT II baru-baru ini, dan ia sudah cukup meyakinkan saya untuk memanggil beliau pada sesi latihan pusat kali ini.

“Jika saya tidak memanggil beliau pada kali ini, bila lagi saya boleh berbuat demikian. Ini bukan soal individu tetapi lebih kepada berbakti untuk negara,” tegas Kim Swee. – Bernama