Harimau, piranha kawal penjara

Harimau, piranha kawal penjara

JAKARTA, 16 Nov (Agensi) – Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Agensi Narkotik Kebangsaan (BNN) mengatakan sebuah penjara akan dikawal oleh buaya untuk menjaga banduan yang menunggu hukuman mati dengan segera diterangkan ia cuma satu gurauan oleh pihak kerajaan.

Bagaimanapun, kelmarin, Budi Waseso berkata, dia kini merancang untuk turut menggunakan harimau dan piranha mengawal penjara berkenaan.

Media tempatan memetik ketua BNN itu sebagai berkata, dia sudah pun memperoleh dua buaya dari sebuah ladang untuk menjalankan kajian mengenai keganasan dan kekuatan mereka dan mungkin menempatkan 1,000 ekor haiwan itu bagi menghalang pesalah melarikan diri.

“Jumlah itu akan bergantung sebesar mana kawasan berkenaan. Mungkin kami juga akan menempatkan piranha di sekeliling pulau itu.

“Memandangkan jumlah pengawal tidak mencukupi, kami juga mungkin menggunakan binatang liar. Kami boleh menggunakan harimau, mungkin pada masa sama untuk menggalakkan pemuliharaan,” katanya.

Harimau antara haiwan buas yang akan digunakan untuk mengawal banduan di sebuah pulau di Indonesia. – Reuters
Harimau antara haiwan buas yang akan digunakan untuk mengawal banduan di sebuah pulau di Indonesia. – Reuters

Piranha, sejenis ikan yang memakan daging manusia biasanya didapati di Amerika Selatan, tidak di Indonesia.

Dalam kenyataan berasingan menerusi stesen televisyen TVOne, Waseso menolak kritikan yang mendakwa rancangannya menggunakan haiwan untuk mengawal penjara sebagai mencabuli hak asasi pesalah.

“Kita perlu lihat kepada masalah itu secara menyeluruh. Mereka adalah pembunuh. Pembunuh yang menyebabkan kematian ramai orang dengan dadah mereka. Kenapakah tidak kita melihat hak asasi mangsa mereka?” katanya.

Jurucakap agensi berkenaan Slamet Pribadi berkata, rancangan menempatkan binatang liar di sekeliling penjara berkenaan bukan jenaka.

“Kegiatan menyeludup dadah adalah jenayah luar biasa. Kerana itu, untuk memeranginya juga perlu cara luar biasa,” katanya.

Slamet berkata, idea itu masih di peringkat awal dan agensi berkenaan masih di berbincang dengan kementerian kehakiman.