Harimau putih ditembak mati selepas bunuh manusia

Harimau putih ditembak mati selepas bunuh manusia

TBILISI, 17 Jun (AFP) – Seekor harimau putih yang membaham seorang lelaki di Tbilisi, ibu negara Georgia semalam telah ditembak mati, kata pegawai-pegawai, empat hari selepas beratus-ratus haiwan terlepas dari zoo di bandar raya itu akibat banjir.

Kementerian Dalam Negeri pada mulanya berkata, haiwan pembunuh itu ialah seekor singa serta mengerahkan pasukan khas untuk memburunya.

Bagaimanapun jurucakapnya, Nino Giorgobiani memberitahu AFP kemudiannya bahawa ia adalah seekor harimau dan telah pun ditembak mati. Saksi-saksi memberitahu televisyen Georgia yang mereka melihat seorang lelaki dibaham oleh harimau putih.

“Ia adalah seekor harimau putih yang besar. Ia menyerang seorang lelaki serta membahamnya di bahagian leher,” kata seorang saksi memberitahu saluran Imedi.

Kerajaan Georgia sebelum ini memberi amaran kepada penduduk-penduduk supaya jangan keluar dari rumah selepas bencana yang menenggelamkan zoo berkenaan akibat limpahan air dari sungai ekoran hujan lebat. Bencana di Georgia telah meragut 17 jiwa serta mengakibatkan banyak kemusnahan kepada kawasan pusat bandar termasuk zoo, dimana ratusan haiwan turut terkorban.

Harimau putih yang terlepas dari Zoo Tbilisi ditembak mati setelah membaham seorang lelaki. – AFP
Harimau putih yang terlepas dari Zoo Tbilisi ditembak mati setelah membaham seorang lelaki. – AFP