Harimau terancam mati

Harimau terancam mati

JAKARTA, 20 April (AFP) – Seekor harimau Sumatera yang terancam telah mati di sebuah zoo terkenal Indonesia tempat ratusan haiwan telah terkorban beberapa tahun kebelakangan, menurut pegawai hari ini.

Harimau jantan bernama Rama itu mati akibat kegagalan jantung di zoo bandar Surabaya, pulau utama Jawa, menurut jurucakap wanita, Veronika Lanu kepada AFP.

Ia telah digelar ‘zoo maut’ kerana banyak haiwan mati tanpa disangka-sangka disebabkan kecuaian – termasuk beberapa ekor orangutan, seekor harimau dan zirafah.

Lanu mempertahankan zoo itu selepas kematian Rama, menegaskan prosedur betul telah diikuti.

“Kematian itu berpunca akibat daripada sebab semula jadi, kami memberikan penjagaan terbaik yang kami boleh,” katanya.

Rama, yang lahir dan tinggal di zoo itu, telah mati pada 10 April.

Haiwan berusia 16 tahun itu berdepan masalah serius dengan giginya, batuk teruk dan kelihatan tidak bermaya sejak beberapa minggu sebelum ia mati.

Para pengempen telah mengkritik zoo berkenaan – dibina seabad yang lalu semasa pemerintahan kolonial Belanda – kerana menyimpan haiwan dalam kurungan penuh sesak, yang sering kotor dan dalam keadaan yang sudah usang.

Berikutan kematiannya itu, zoo itu kini hanya mempunyai tiga harimau jantan Sumatera dan enam harimau betina.

Pengurusan bagi zoo Surabaya, yang terbesar di Indonesia, telah diambil alih oleh pentadbiran bandar, namun kematian itu masih lagi tidak berhenti dan kumpulan kebajikan haiwan terus menggesa agar ia ditutup.

Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi mengklasifikasikan harimau Sumatera itu sebagai spesies terancam. Terdapat kurang daripada 400 lagi yang tinggal di hutan, semuanya di pulau barat Sumatera, Indonesia, menurut kumpulan alam sekitar WWF.

ARTIKEL YANG SAMA