Harmoni sambut Krismas cara S’wak

Harmoni sambut Krismas cara S’wak

PADAWAN (Sarawak), 25 Dis (Bernama) – Sambutan Hari Krismas 2015 lebih bermakna buat pasangan Robert Kenneth Henry dan Kerin Sarus dengan kehadiran anggota baharu dalam keluarga mereka.

Pasangan Bidayuh itu baru menerima menantu pertama, Siti Azureen Mohd Zulkifli, 26, gadis berketurunan Melayu berasal dari Kg Siol Kandis dekat Kuching pada 20 Disember lalu.

Kemeriahan Hari Natal dapat dirasai di majlis rumah terbuka mereka di Kampung Danu dengan kehadiran rakan-rakan dan paling penting anggota keluarga menantu mereka yang datang ‘ngabang’ (ziarah) untuk memeriahkan sambutan dengan ‘cara Sarawak’.

Bagi Robert, keputusan anaknya Muhamad Ashraff Akmal, 26, untuk mengahwini Siti Azureen bukan masalah besar, malahan beliau suami isteri kuat menyokong keputusan anak kedua daripada lima beradik itu.

“Bagi saya tidak ada masalah. Saya pun ada ramai kawan beragama Islam.

“Saya ingat lagi mula-mula mereka berkawan, arwah ibu Siti Azureen ada telefon tanya macam mana? Ada masalah tak mereka dua berkawan…saya cakap ok saja, tak ada masalah pun,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sambil kami berbual, Siti Azureen bersama anggota keluarga turut sama membantu menghidangkan juadah kepada tetamu yang berkunjung ke rumah mertuanya itu.

Muhamad Ashraff, yang berniaga sendiri dan tinggal di Semariang dekat Kuching bersama keluarga isterinya, berkata sejak pagi tadi dia bersama Siti Azureen berada di kediaman keluarganya untuk membantu menyiapkan juadah.

“Perkahwinan campur di Sarawak memang sudah biasa. Di kampung ni pun ada tiga empat keluarga yang anak-anak mereka berkahwin campur dan memeluk Islam,” katanya, yang berasa sangat bertuah keputusan ‘besar’ yang diambilnya itu mendapat sokongan anggota keluarga yang lain.

Muhamad Ashraff berkata pada perayaan Hari Gawai Jun lalu, Siti Azureen yang ketika itu tunangannya, turut datang membantu keluarganya.

“Kami mungkin paling bertuah kerana mempunyai keluarga daripada keturunan serta agama berbeza namun kekal hidup berharmoni. Inilah keindahan Sarawak,” katanya.