Harry Kane Kekal Di White Hart Lane

Harry Kane Kekal Di White Hart Lane

PETALING JAYA, 27 Mei (Bernama) – Pemain sensasi Tottenham Hotspur, Harry Kane akan terus menyarung jersi pasukan berkenaan walaupun menerima rundingan perpindahan daripada beberapa kelab Eropah.

Penyerang berusia 21 tahun itu percaya dia mempunyai masa depan yang sangat cerah dan gembira untuk kekal bersama-sama dengan rakan sepasukan di Stadium White Hart Lane.

“Tottenham sebuah kelab yang besar. Keseluruhan pemain sangat berpuas hati. Saya berharap, musim depan saya akan menjaringkan lebih banyak gol dan menampilkan aksi yang baik untuk pasukan,” katanya pada sidang media di sini hari ini, menjelang aksi persahabatan antarabangsa antara Tottenham Hotspur menentang Pilihan Malaysia di Stadium Shah Alam, malam esok.

Menjaringkan 21 gol untuk pasukan diberi jolokan ‘Spurs’ dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), iaitu kurang empat gol berbanding penjaring terbanyak EPL, Sergio Aguero dari Manchester City, pencapaian Kane itu menarik perhatian beberapa kelab terkemuka seperti Manchester United, Real Madrid serta musuh mereka dari Utara London iaitu Arsenal.

Mengenai perlawanan esok, Kane mengakui bakal berdepan keadaan sukar bermain dalam keadaan cuaca di Malaysia, namun tidak sabar untuk turun beraksi pada perlawanan tersebut.

“Hanya berjalan dari bilik saya ke sidang media ini, ia sangat panas dan melekit, jadi ia bakal menarik untuk beraksi esok,” katanya. Jurulatih Mauricio Pochettino, bagaimanapun berkata Kane tidak akan beraksi untuk penuh 90 minit perlawanan kerana beliau mahu memberi peluang kepada pemain lain untuk bermain pada perlawanan tersebut.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan Dollah Salleh menjangkakan perlawanan tersebut bakal sukar bagi pasukannya kerana Pochettino sudah tentu membariskan pemain terbaiknya pada aksi tersebut.

“Selepas seminggu latihan, sudah ada keserasian antara pemain tempatan dan import. Kali ini Spurs datang dengan pasukan yang mantap, dan kita juga akan memberikan saingan kepada mereka,” katanya.

Kapten pasukan Pilihan Malaysia, Indra Putra Mahayuddin pula yakin dengan rakan sepasukan yang boleh mengejutkan kelab EPL itu, dengan corak permainan yang baik.

ARTIKEL YANG SAMA