Harry Kane selamatkan Spurs

Harry Kane selamatkan Spurs

LONDON, 11 Jan (Agensi) – Tottenham Hostpurs terselamat daripada dimalukan di laman sendiri, White Hart Lane apabila mencatat keputusan seri 2-2 menentang Leicester pada pertembungan pusingan tiga Piala FA, sebentar tadi.

Pada pertembungan menarik dua kelab Liga Perdana Inggeris itu, pengurus Tottenham Hotspurs, Mauricio Pochettino merehatkan hampir kesemua pemain tonggaknya dalam kesebelasan utama namun terpaksa merubah strategi pada babak kedua.

Berjaya di depan menerusi jaringan Christian Eriksen seawal minit kesembilan perlawanan, pelawat begitupun tidak memerlukan masa lama untuk menyamakan kedudukan sepuluh minit kemudian menerusi Marcin Wasilewski.

Kurang lima minit selepas dilayangkan kad kuning, Wasilewski meledak jaringan buat Leicester menerusi tandukan di depan gawang Spurs menewaskan penjaga gol, Michel Vorm.

Tiada tambahan jaringan berakhir babak pertama namun tindakan pengurus Leicester, Claudio Ranieri memasukkan penyerang Jepun, Shinji Okazaki menggantikan Ngolo Kante pada awal separuh masa kedua mencetuskan hasil diharapkan.

Harry Kane ketika menjaringkan gol melalui sepakan penalti untuk menyamai kedudukan 2-2. - Reuters
Harry Kane ketika menjaringkan gol melalui sepakan penalti untuk menyamai kedudukan 2-2. – Reuters

Kurang seminit selepas babak kedua berlangsung, Okazaki meledak gol kedua pelawat.

Jaringan itu memaksa membuat tiga perubahan termasuk membawa masuk penyerang utamanya, Harry Kane bagi menggantikan Thomas Carroll pada minit ke-68 namun jaringan penyamaan yang diharapkan Spurs hanya hadir pada penghujung babak kedua.

Seminit sebelum masa permainan tamat, Spurs diselamatkan penalti yang disempurnakan Kane selepas pertahanan Leicester, Nathan Dyer dipersalahkan pengadil Bobby Madley kerana menyentuh bola di kawasan penalti.

Penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel yang membantah keputusan itu kemudian dilayangkan kad kuning dengan Kane tidak bermasalah menyumbat gol ke-14 miliknya musim ini.

Keputusan seri menyaksikan perlawanan ulangan dijalankan di laman Leicester, King Power.