Hart terima sambutan luar biasa peminat Torino

Hart terima sambutan luar biasa peminat Torino

MILAN, 31 Ogos – Penjaga gol England, Joe Hart menerima sambutan luar biasa daripada peminat Torino ketika dia mengangkat jersi pasukan sebelum menandatangani pinjaman semusim bersama kelab Serie A itu.

Hart, 29, bukan lagi pilihan jurulatih baru Pep Guardiola di Manchester City selepas kemasukan Claudio Bravo dari Barcelona dan mencetuskan kejutan dengan menyertai Torino untuk mengekalkan kerjaya antarabangsanya berikutan penyingkiran England dari Euro 2016.

Gambar-gambar di kaca televisyen sebelumnya menunjukkan Hart tiba di lapangan Bandaraya Caselle dan beliau berdiri di sebuah anjung di tengah bandar raya itu sambil memegang jersi Torino dengan namanya tertera di belakang.

Walaupun Torino belum membuat pengumuman rasmi, ejen Hart sebelumnya memberitahu Tuttosport: “Ya, Joe Hart akan beraksi di Torino. Persetujuan telah dicapai. Dia berkata ‘ya’ kepada kelab itu dan sekarang Manchester City memberikan OK.”

Hart menjadi penjaga gol Inggeris ketiga beraksi dalam pasukan kelompok teratas Itali dan yang pertama sejak 1929/30, era di mana pemain Inggeris – sebahagiannya membantu meletakkan asas sebahagian kelab terbesar Itali – beraksi secara meluas dalam pasukan kelompok teratas negara itu.

Hart bergambar dengan jersi kelab barunya ketika tiba untuk pemeriksaan perubatan di Turin, kelmarin. – AFP
Hart bergambar dengan jersi kelab barunya ketika tiba untuk pemeriksaan perubatan di Turin, kelmarin. – AFP

Sebelum Hart, James Richardson Spensley beraksi bersama Genoa pada penghujung abad ke-20 dan Hoberlin Hood beraksi bagi AC Milan.

Hart digambarkan sebagai rampasan terbesar Torino untuk menyelamatkan tempat dalam Liga Europa musim depan, terutamanya selepas City bersetuju untuk membayar gaji tahunan Hart sebanyak 3.3 juta pound (4.2 euro).

Hart, sementara itu, mempunyai peluang untuk mendapatkan pengalaman berharga apabila beraksi dalam salah satu liga paling sukar dunia dari segi taktik.

Dia dijangka akan mengambil tempat Daniele Padelli yang gagal memenangi hati jurulatih Sinisa Mihajlovic sejak tiba di kelab itu beberapa bulan selepas dipecat dari AC Milan musim lalu. – AFP