Hart teruja dengan malam hebat City

Hart teruja dengan malam hebat City

MANCHESTER, 13 April (AFP) – Penjaga gol Manchester City Joe Hart berkata segala usaha gigih kelab itu di peringkat Eropah berbaloi selepas mereka menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 1-0, awal pagi tadi dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

Selepas dua kali tersingkir di peringkat 16 terakhir pada dua edisi sebelum ini dan dua penyingkiran di peringkat kumpulan, sebelum itu, City melengkapkan kemaraan dengan kejayaan agregat 3-2 ke atas juara Perancis itu di laman sendiri, Etihad dengan gol Kevin De Bruyne pada minit ke-76.

Kejayaan menyingkirkan PSG juga mencatat sejarah buat pertama kalinya kelab itu melangkah ke peringkat separuh akhir dan Hart percaya mereka memang layak untuk berada di sana seandainya prestasi permainan menjadi rujukan.

“Ia malam yang menakjubkan buat kami,” kata Hart kepada BT Sport di Stadium Etihad. “Kami perlu bekerja keras dalam kejohanan ini. Kami bergelut pada mulanya, namun kami sudah mula untuk bersaing.”

“Tahniah juga kepada PSG, saya fikir mereka sudah melakukan serangan balas yang menakjubkan. Tetapi saya fikir kami benar-benar menyinar pada perlawanan kali ini.

“Persembahan yang menakjubkan dari kesemua pasukan, juga kepada mereka yang berada di bangku simpanan.”

Ketika peminat City cemas selepas Sergio Aguero gagal menyempurnakan penalti pada babak pertama, penantian mereka berbaloi selepas De Bruyne meledak gol cantik daripada luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol PSG. Perancang kelahiran Belgium itu berkata lega pasukannya berpeluang untuk meneruskan kempen di peringkat Eropah.

“Permainan malam ini memberikan perasaan yang hebat. Kami bermain permainan yang amat baik. PSG tidak mencipta banyak peluang dan saya fikir kamu memang layak untuk mara,” katanya.