Hartanah mewah seluas 2142 kaki persegi berharga RM4 juta

Hartanah mewah seluas 2142 kaki persegi berharga RM4 juta

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) – Hartanah mewah seluas 2142.02 kaki persegi di Malaysia kini berharga kira-kira RM4 juta (AS$1 juta), demikian menurut Knight Frank dalam laporan The Wealth Report 2016.

Menurut kumpulan hartanah antarabangsa itu, dengan harga yang sama, saiz kediaman mewah dalam pasaran antarabangsa termasuk Hong Kong bersamaan dengan 215.278 kaki persegi, di New York bersamaan dengan 290.626 kaki persegi, di Singapura bersamaan dengan 452.084 kaki persegi, di Tokyo bersamaan dengan 893.405 kaki persegi dan di Cape Town bersamaan dengan 2744.8 kaki persegi.

Ketua Penyelidikan Asia Pasifik Knight Frank, Nicholas Holt berkata dalam tempoh sepuluh tahun lepas, pertumbuhan pesat harta kekayaan di seluruh dunia membantu merangsang pasaran hartanah.

“Risiko politik, pelbagai, pendidikan dan gaya hidup menjadi pemacu utama.

“Meskipun bilangan individu sangat kaya (UHNWI) Malaysia jatuh sebanyak 15 peratus daripada 1,168 pada 2014 kepada 993 pada 2015, hartanah kekal menjadi elemen penting daripada portfolio mereka.

“Golongan individu sangat kaya Malaysia memiliki lebih banyak hartanah pada purata 4.7 berbanding purata Asia pada 3.92 dan purata global pada 3.7, kata Holt kepada Bernama pada pelancaran laporan itu, di sini.

Menurutnya, UHNWI Malaysia menunjukkan minat tinggi kepada aset hartanah di Asia dengan kenaikan 65 peratus dalam peruntukan aset kepada hartanah kediaman dalam dekad lepas.

Ini diikuti Singapura, Australia dan China dengan masing-masing pada 61 peratus, 58 peratus dan 53 peratus bagi tempoh 10 tahun lepas.

Bagi tahun ini, meskipun keadaan ekonomi global yang mencabar, 39 peratus UHNWI Malaysia menimbang membeli kediaman berbanding purata 29 peratus UHNWI di seluruh dunia.