Hartem Ben Arfa terus dipinggirkan

Hartem Ben Arfa terus dipinggirkan

PARIS, 20 Sept – Masa depan Hatem Ben Arfa di Paris Saint-Germain dilihat semakin hambar selepas pemain sayap antarabangsa Perancis itu sekali lagi digugurkan dari skuad oleh jurulatih Unai Emery untuk aksi Ligue 1, hari ini.

Juara PSG akan menentang pasukan baru L1, Dijon di Pars des Princes dengan ketinggalan tiga mata daripada pendahulu liga Monaco, yang akan melayan pasukan tangga kedua Nice, esok.

Ini adalah perlawanan ketiga berturut-turut Emery tidak memilih Ben Arfa, yang tiba di PSG pada musim panas lalu dari Nice, dengan jurulatih Sepanyol itu mewajarkan pemilihan skuadnya dengan berkata ia ‘keputusan sukan sebenar’.

Ben Arfa, 29, juga tidak beraksi dalam perlawanan menentang Arsenal yang berkesudahan seri 1-1 dalam persaingan Liga Juara-Juara dan kemenangan 6-0 liga membenam Caen minggu lalu.

“Saya menyediakan pasukan yang saya rasa terbaik untuk beraksi dalam perlawanan itu,” kata Emery. “Dia sama seperti pemain lain, saya rasa pemain dalam skuad hari ini adalah mereka yang memiliki persediaan terbaik bagi perlawanan esok,” kata Emery, yang menjelaskan awal bulan ini Ben Arfa perlu ‘bekerja lebih keras’.

Ben Arfa (tengah) hanya mampu menyaksikan perlawanan Liga Juara-Juara pasukannya menentang Arsenal dari bangku simpanan di stadium Parc des Princes pada 13 September lalu. – AFP
Ben Arfa (tengah) hanya mampu menyaksikan perlawanan Liga Juara-Juara pasukannya menentang Arsenal dari bangku simpanan di stadium Parc des Princes pada 13 September lalu. – AFP

Kejayaan PSG akan membolehkan mereka melonjak kepada kedudukan teratas, sekurang-kurangnya bagi tempoh 24 jam, sebelum pertemuan pasukan tangga teratas antara Monaco dan Nice.

Monaco menyusul kemenangan 2-1 mereka ke atas Tottenham dalam Liga Juara-Juara di Wembley minggu lalu dengan menewaskan Rennes 3-0 untuk meletakkan mereka di tangga teratas L1 dengan 13 mata.

Dua gol Thomas Lemar dan tandukan Radamel Falcao, gol pertama pemain dari Colombia itu bagi kelabnya sejak Ogos 2014, membantu mereka menyingkirkan pasukan Brittany dan memintas PSG.

Monaco memburu kemenangan kelapan berturut-turut ke atas Nice yang hanya ketinggalan dua mata dengan menurunkan pemain baru Younes Belhanda.

Jaringan lewat penyerang yang dalam pinjaman dari Dynamo Kiev dalam keputusan seri 1-1 hujung minggu lalu menentang Montpellier membantu pasukan Cote d’Azur mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam kempen itu. – AFP