Haruan makan anak kena 3 tahun

Haruan makan anak kena 3 tahun

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160502_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Seorang bapa yang sepatutnya menjadi pelindung telah menerima nasibnya apabila Mahkamah Perantaraan di sini, semalam, memutuskan untuk menjatuhi hukuman penjara tiga tahun, enam bulan dan tiga sebatan ke atas lelaki itu yang tergamak mencabul kehormatan anak perempuannya sendiri.

Lelaki berusia 41 tahun itu dijatuhi hukuman berkenaan selepas dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mencabul kehormatan anak perempuannya berusia 13 tahun.

Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan didakwa mencabul kehormatan mangsa dalam tiga kejadian berasingan di bilik tidur mereka di Tanah Jambu, pada 4 April 2016, sekitar April 2016 dan sekitar tahun 2014.

“Saya tidak akan memberikan hukuman paling berat terhadap tertuduh selepas meneliti keseluruhan kes di mana tertuduh melakukan perbuatan itu secara spontan, dan bukan dirancang.

“Tambahan lagi, tertuduh tidak menanggalkan pakaian anaknya ketika melakukan perbuatan tidak senonoh itu, bahkan berhenti meneruskan perbuatannya apabila anaknya terjaga daripada tidur,” jelas Hakim Pengiran Hajah Hanani binti Pengiran Haji Metussain.

Hakim Pengiran Hajah Hanani turut menyifatkan kejadian itu agak malang kerana mangsa ditempatkan di bilik ibu-bapanya dan tidur dengan bapanya di atas tilam yang sama di mana tertuduh sepatutnya tidur bersama isterinya.

Kesalahan tertuduh memperuntukkan hukuman pemenjaraan untuk tempoh tidak kurang dari tiga tahun dan tidak melebihi daripada 10 tahun, dan juga sebatan.

Fakta kes daripada Pegawai Pendakwa Raya, Ali Amani Nokman menyebut, tertuduh mempunyai lima orang anak di mana mangsa merupakan anak keempat.

Mangsa yang tidur di bilik ibu-bapanya terjaga sekitar jam 2:30 pagi pada 6 April apabila terasa seseorang melakukan perbuatan tidak senonoh, dan mendapati orang itu adalah bapanya.

Mangsa ketika itu tidur bersama bapanya di atas tilam yang diletakkan di lantai berdepan dengan tilam adiknya manakala ibu mangsa dan seorang lagi adiknya tidur di atas katil.

ARTIKEL YANG SAMA