‘Haruan makan anak’ terima hukuman

‘Haruan makan anak’ terima hukuman

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_161017_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Seorang bapa dijatuhi penjara lima tahun lapan bulan dan lima sebatan oleh Mahkamah Perantaraan di sini, semalam, atas pertuduhan mencabul kehormatan anak perempuannya.

Lelaki berusia 37 tahun yang namanya tidak dapat didedahkan untuk melindungi identiti mangsa mengaku bersalah melakukan ‘perbuatan tidak senonoh’ itu dalam tiga kejadian berasingan pada Mac 2016, sekitar tahun 2012 dan sekitar tahun 2011.

Mangsa ketika itu berusia 13, 9 dan 8 tahun ketika bapanya melakukan perbuatan itu.

Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Pengiran Hajah Hanani binti Pengiran Haji Metussain berkata, perbuatan tertuduh adalah satu kesalahan yang sangat serius apatah lagi mangsa merupakan anak kandungnya.

Hakim turut menyifatkan perbuatan tertuduh itu sudah dirancang dan bukannya dilakukan secara spontan.

“Perbuatan tertuduh dalam tiga kejadian berasingan itu menyebabkan mangsa mengalami trauma,” kata Hakim yang turut percaya mangsa mempunyai perasaan takut terhadap bapanya yang telah memberinya amaran untuk tidak memberitahu sesiapa akan kejadian itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman terdahulu telah mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 354B Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan juga sebatan.

Tertuduh yang bekerja sebagai pemandu bot mempunyai tujuh orang anak di mana mangsa merupakan anak ketiganya.

Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Wanita dan Kanak-Kanak.

ARTIKEL YANG SAMA