Harumkan nama negara

Harumkan nama negara

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Peserta qari dan qariah negara selamat pulang ke tanah air, hari ini, setelah mengharumkan nama Brunei dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-58, yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Malaysia.

Dengan mengutip markah 90.2, Awangku Muhd Adibul Amin bin Pengiran Marjuki menyandang gelaran naib johan qari, manakala Dayang Siti Huzaimah Yadey Rosli menduduki tempat ketiga qariah dengan mengumpul 85.9 peratus.

Hadir mengalu-alukan ketibaan dan menyampaikan penghargaan serta ucap tahniah kepada kedua-dua peserta negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut mengucapkan tahniah ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan isteri.

Ketika dihubungi semalam, kedua-dua peserta negara telah meluahkan rasa syukur kerana berjaya mengharumkan nama Brunei di Kuala Lumpur.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar dan Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin bergambar ramai bersama para peserta qari dan qariah.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar dan Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin bergambar ramai bersama para peserta qari dan qariah.

Mereka juga menyampaikan penghargaan kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Kemajuan Syiar Islam yang tidak putus-putus memberikan sokongan sepanjang pertandingan, begitu juga kepada ahli keluarga dan sahabat handai yang memberi sokongan padu berterusan.

Awangku Muhd Adibul Amin turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dato Paduka Haji Yusof bin Bakar yang telah menyumbangkan baktinya dalam memberikan tunjuk ajar, serta kepada seluruh rakyat Negara Brunei Darussalam atas sokongan dan doa yang berterusan.

“Semoga dengan pencapaian ini akan dapat memartabatkan lagi Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir yang memartabatkan Al-Quran,” tambahnya.

Dalam pertandingan yang berakhir malam tadi itu, kategori qari telah dijuarai oleh peserta Malaysia, Wan Ainuddin Hilmi Abdullah yang juga merupakan naib johan tahun lalu dengan mengutip 94.8 peratus dan tempat ketiga disandang oleh peserta dari Indonesia, Awaludin Mohor dengan 86.8 peratus,

Kategori qariah juga diungguli peserta Malaysia, Nor Azrah yang mengumpulkan markah 91 peratus dan diikuti oleh peserta Indonesia, Mastia Lestaluhu dengan 87.5 peratus selaku naib johan.

Johan menerima jongkong emas bernilai RM70,000 tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), piala iringan serta wang tunai RM40,000.

Sementara itu, bagi kategori hafazan yang diperkenalkan dua tahun lepas pula telah diungguli oleh hafiz dan hafizah dari Mesir, iaitu Abdulla Said Mohamed Bayoumy Elkazzaz dengan 96.6 peratus dan Mayada Mahmoud Mahmoud Abdelrahim yang mengumpul markah 90.8 peratus.

Mereka, masing-masing menerima jongkong emas bernilai RM40,000 tajaan YaPEIM, wang tunai RM20,000 dan piala iringan.

Naib johan hafiz dimenangi oleh peserta Malaysia, Mohamad Omar Mansu (94.5 peratus), manakala peserta dari Amerika Syarikat, Hamzah Alhabasy menduduki tempat ketiga (93.5 peratus).

Tempat ketiga hafizah dimenangi peserta Malaysia, Farihah Zulkifli (90.8 peratus) dan peserta Lubnan, Asma Adra meraih tempat ketiga (90.5 peratus).

Penyampaian hadiah kepada qari dan hafiz telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, manakala isterinya, Datin Seri Fatmawati Saidin menyampaikan hadiah kepada qariah dan hafizah.

ARTIKEL YANG SAMA