Hasil berbudi pada tanah

Hasil berbudi pada tanah

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jun – Setelah menempuh pelbagai cabaran dan rintangan selama lebih setahun, Ladang Kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lumapas kini sudah mula membuahkan hasil dengan hasil tanaman lada gulai sudah boleh dijual dan hasil jualan dibahagikan kepada para peserta ladang berkenaan.

Sehubungan dengan itu, bagi meninjau dan mendapatkan penerangan mengenai perkembangan ladang kerjasama berkenaan, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman berserta rombongan telah mengadakan lawatan ke ladang berkenaan di Mukim Lumapas, hari ini.

Rombongan turut disertai oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Timbalan Setiausaha Tetap di KHEDN, Haji Muhammad Sunadi bin Haji Buntar, para pegawai dan kakitangan KHEDN.

Semasa lawatan berkenaan, Yang Berhormat Pehin serta rombongan diiringi dan mendengarkan penerangan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Ketua Kampung Putat, Yang Berhormat Haji Jumat bin Akim, Penasihat Majlis Perundingan Mukim (MPM) dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lumapas, Dato Paduka Haji Jemat bin Haji Ampal serta para peserta ladang kerjasama berkenaan.

Yang Berhormat Pehin dan rombongan juga berpeluang menyaksikan dengan lebih dekat hasil tanaman lada gulai yang dihasilkan oleh para peserta ladang kerjasama berkenaan serta juga berpeluang untuk memetik buah lada berkenaan.

Yang Berhormat Pehin bersama rombongan meninjau dengan lebih dekat ladang kerjasama yang diusahakan oleh peserta MPK Kampung Lumapas.
Yang Berhormat Pehin bersama rombongan meninjau dengan lebih dekat ladang kerjasama yang diusahakan oleh peserta MPK Kampung Lumapas.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama para peserta Ladang Kerjasama MPK Kampung Lumapas berkenaan.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama para peserta Ladang Kerjasama MPK Kampung Lumapas berkenaan.

Rombongan turut diberikan penerangan mengenai cabaran dan kaedah yang dilaksanakan oleh peserta-peserta ladang kerjasama itu sejak penubuhan ladang berkenaan hingga ia dapat membuahkan hasil pada masa ini.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Yang Berhormat Pehin berkata lawatan tersebut adalah untuk melihat sendiri perkembangan ladang kerjasama yang dilancarkan kira-kira setahun lalu itu serta bagi mengetahui masalah dan cabaran yang dihadapi oleh peserta-peserta ladang yang kini sudah mula membuahkan hasil.

Beliau berkata bahawa salah satu masalah yang dihadapi dan dikenal pasti adalah kekurangan air dan masalah itu telah dapat diatasi bersama pihak kerajaan khususnya Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama dan peserta ladang di mana mereka bersungguh-sungguh berusaha menjayakan rancangan ladang mereka.

Mengulas mengenai kunci kejayaan bagi ladang kerjasama itu, Yang Berhormat Pehin berkata mesti mempunyai kemahuan untuk berjaya dan disokong dengan kerjasama daripada pihak kerajaan.

“Semangat daripada anak kampung itu harus terus berkobar-kobar dan tidak mudah berputus-asa.”

Sementara itu, Dato Paduka Haji Jemat berkata kepada Media Permata bahawa hasrat untuk menubuhkan ladang kerjasama oleh pihak MPK ialah untuk menghidupkan lagi tradisi lama berkebun secara bergotong-royong yang mana melaluinya akan menghidupkan semangat berkampung.

Ladang kerjasama itu melalui pelbagai cabaran sebelum ia mula membuahkan hasil, antaranya kekurangan bekalan air yang sudah dapat diatasi dengan menggunakan bantuan peralatan seperti pam air untuk membekalkan air yang mencukupi kepada tanaman.

Dato Paduka Haji Jemat juga berkata banyak perkara telah dipelajari melalui cabaran-cabaran yang dilalui yang membolehkan para peserta ladang kerjasama itu untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dan kini ladang kerjasama itu mempunyai keluasan 10 ekar.

Beliau turut mendedahkan rancangan seterusnya iaitu bukan sahaja untuk menghasilkan lada segar sahaja tetapi untuk menerokai peluang pemprosesan lada segar itu bagi menghasilkan puri lada yang boleh digunakan bagi masakan atau dicampurkan kepada masakan dengan puri itu diharap dapat dipasarkan bagi kegunaan di rumah dan restoran.

Usaha itu setentunya akan menambah nilai hasil dapatan peserta-peserta ladang kerjasama dan membuka ruang baru yang boleh diterokai bersama oleh penduduk kampung dalam meningkatkan lagi kegiatan perekonomian mereka.

ARTIKEL YANG SAMA