Hasil Boeing meningkat 6 % pada 2015

Hasil Boeing meningkat 6 % pada 2015

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Syarikat aeroangkasa terbesar dunia berdasarkan jualan, Boeing, mencatat hasil yang lebih tinggi, sebanyak AS$96.1 bilion tahun lepas, meningkat enam peratus berbanding AS$90.8 bilion pada 2014, dengan penyerahan komersial yang mencatat rekod.

Bagi suku keempat, hasil bagaimanapun, susut empat peratus kepada AS$23.6 bilion berbanding AS$24.5 bilion sebelumnya, kata Boeing

“Berdasarkan asas prestasi operasi teras kami yang kukuh dan tumpuan kepada pelanggan, Boeing terus menerajui pasaran industri aeroangkasa pada 2015 dengan mencatat rekod penyerahan dan hasil bagi pesawat komersial, selain margin jualan yang kukuh dan padu dalam perniagaan pertahanan dan ruang angkasa.

“Kami juga menjana aliran tunai yang besar untuk merangsang pelaburan dalam inovasi dan tenaga kerja kami, menyediakan pulangan yang menarik kepada pemegang saham,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing Dennis Muilenburg.

Beliau berkata berdasarkan tunggakan pesanan yang besar, bernilai hampir AS$500 bilion, dan pelbagai kadar pengeluaran tambahan yang masih dalam perancangan dalam dekad ini, Boeing berada pada kedudukan yang baik untuk meningkatkan pertumbuhan yang menguntungkan dan aliran tunai yang lebih tinggi dalam abad kedua pembabitannya dalam perniagaan.

pg18_160129_b

Boeing mengunjurkan penghantaran jet komersial untuk 2016 berjumlah antara 740 dan 745, dengan hasil dijangka berada dalam lingkungan AS$93 bilion hingga AS$95 bilion.

“Keutamaan kami pada 2016 dan seterusnya adalah untuk memanfaatkan kekuatan sedia ada dalam melaksanakan pelan dan komitmen semasa dan melepasinya dengan meningkatkan kemajuan pertumbuhan perusahaan utama dan inisiatif produktiviti, melabur untuk pasukan kami dan mewujudkan nilai dan peluang yang lebih besar untuk pelanggan, pemegang saham dan pekerja,” kata Muilenburg.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai keputusan 2015, Boeing berkata aliran tunai operasi meningkat kepada AS$9.4 bilion, dengan kecairan yang kukuh sebanyak AS$12.1 bilion dalam bentuk tunai dan sekuriti boleh pasar. – Bernama