Hasil bumi batu kelikir

Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman

 

SEBAHAGIAN masyarakat masih ada yang tidak mengetahui mengenai penghasilan negara dalam pengeluaran batu kelikir. Penulis masih ingat bahawa ianya bertempat di Kampung Butir, di tebing sungai menuju ke Daerah Temburong.

Para pekerjanya terdiri daripada kaum lelaki yang berbadan tegap dan bertenaga. Kebanyakan pekerja-pekerjanya berasal dari Kampung Saba dan Kampung Tamoi Tengah.

Batu kelikir diangkut dari Kampung Butir menuju tebing Sungai Kianggeh dengan menggunakan perahu besar yang dipanggil sebagai ‘Perahu Tongkang’. Mereka mengambil batu-batu kelikir itu sejak awal pagi lagi.

Setelah batu-batu kelikir itu dimasukkan ke dalam perahu, ia kemudiannya dibawa ke Sungai Kianggeh.

Selepas itu, batu-batu tersebut akan dipunggah dengan menggunakan bakul yang diperbuat daripada rotan. Para pekerja akan menuangnya (memasukkannya) ke dalam petak kayu khas yang telah disediakan secara bergilir-gilir.

Bekas tapak pemunggahan batu kelikir tahun 1958 yang kini sebagai Pejabat Unit Tanah-Tanah Perkuburan Islam, Jalan Residency, Bandar Seri Begawan.
Bekas tapak pemunggahan batu kelikir tahun 1958 yang kini sebagai Pejabat Unit Tanah-Tanah Perkuburan Islam, Jalan Residency, Bandar Seri Begawan.
Tiga orang mandur memerhatikan keadaan mesin pemecah batu kelikir.
Tiga orang mandur memerhatikan keadaan mesin pemecah batu kelikir.
Gambar ramai pekerja-pekerja di bahagian pemunggahan batu kelikir, di tebing Sungai Kianggeh pada tahun 1958.
Gambar ramai pekerja-pekerja di bahagian pemunggahan batu kelikir, di tebing Sungai Kianggeh pada tahun 1958.
Beberapa mandur kelihatan duduk di atas timbunan batu kelikir.
Beberapa mandur kelihatan duduk di atas timbunan batu kelikir.

Beberapa mandur akan mencatit jumlah batu-batu tersebut (dalam keadaan basah dan berair), yang telah dimasukkan ke dalam petak khas itu. Setelah batu-batu itu kering, barulah para pekerja memasukkannya ke dalam mesin pemecah batu dari waktu pagi sehinggalah petang. Mereka akan diberikan rehat semasa waktu tengah hari bagi mengambil masa untuk makan dan minum.

Penulis masih ingat sejarah perusahaan pengambilan batu kelikir di Kampung Butir ini telah bermula sejak tahun 1950. Pada zaman itu, terdapat dua tempat untuk memunggah batu-batu kelikir iaitu tebing Sungai Kampung Kianggeh dan tebing sungai Kampung Tongkadeh.

Pada awal tahun 1960, penghasilan batu-batu kelikir di kawasan kampung mulai surut dan ianya telah beralih ke Daerah Temburong sehinggalah sekarang.

Hasil bumi batu kelikir dari daerah itu diangkut dengan menggunakan kapal-kapal besar atau ‘bantun’ dengan melalui Sungai Brunei dan Kampong Ayer. Salah sebuah kapal atau bantun batu kelikir yang masih beroperasi sehingga kini ialah Syarikat Ocean Quarry.

Tapak memunggah batu-batu kelikir (yang kini Pejabat Unit Tanah-Tanah Perkuburan Islam, Jalan Residency, Bandar Seri Begawan) hanya tinggal menjadi kenangan.

Penulis sempat memerhatikan sekitar kawasan tersebut, terbayangkan suasana pada zaman dahulu dan bunyi-bunyi mesin jentera pemecah batu kelikir. Penulis berharap artikel ini dapat memberi pengetahuan kepada golongan belia agar sejarah dikenali dan tidak pupus begitu sahaja.