Hasil eksport produk bioteknologi naik berganda

Hasil eksport produk bioteknologi naik berganda

KUALA LUMPUR, 18 Dis (AFP) – Jumlah pendapatan eksport produk-produk bioteknologi dijangka naik berganda kepada RM2 bilion tahun depan berbanding RM1 bilion tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Biotechnology Corp Sdn Bhd (BiotechCorp), Datuk Mohd Nazlee Kamal, berkata industri kesihatan menyumbang sebanyak 70 peratus daripada jumlah pendapatan eksport dan 30 peratus lagi disumbangkan oleh makanan serta segmen lain.

“Syarikat-syarikat bioteknologi mendapat manfaat melalui faktor pertukaran asing disebabkan ringgit yang lebih rendah berbanding dolar AS.

“Kos pengeluaran tetap sama dan syarikat-syarikat mendapat lebih ringgit berikutan produk yang dijual dalam dolar AS,” katanya kepada pemberita selepas persidangan mengenai ‘Sesi Rangkaian Pelaburan Bioekonomi 2015’ di sini, hari ini.

Sesi itu yang mengumpulkan wakil-wakil dari syarikat bioteknologi dan institusi kewangan, bertujuan untuk mencari mekanisme pembiayaan bagi syarikat yang mahu bermula, syarikat pertengahan dan syarikat yang sudah matang.

Mohd Nazlee berkata sesi rangkaian hari ini dijangka membantu syarikat-syarikat bioteknologi mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan disebabkan mekanisme pembiayaan sekarang hanya meliputi 10 peratus daripada kos projek.

Beliau ketika bercakap mengenai pelaburan bioteknologi, berkata, Malaysia meraih kira-kira RM4 bilion tahun ini.

Untuk tahun depan, pelaburan itu dijangka berkurangan kepada RM2 bilion.

“Ini disebabkan oleh pelbagai faktor ekonomi global. Bagi tahun depan, kami menjangkakan 70 peratus daripada pelaburan adalah bersifat domestik dan 30 peratus merupakan pelaburan langsung asing,” katanya.

Dari 2011 sehingga September 2015, BiotechCorp telah memperoleh pelaburan menghampiri RM25 bilion, melepasi sasaran RM9 bilion yang ditetapkan oleh Polisi Malaysia Bioteknologi, katanya.

Mohd Nazlee berkata sebanyak RM5 bilion pelaburan telah pun menjadi kenyataan manakala baki RM25 bilion lagi akan direalisasikan secara beransur-ansur.

ARTIKEL YANG SAMA