Hasil Huawei China meningkat 40%

Hasil Huawei China meningkat 40%

SHANGHAI, 25 Julai – Syarikat peralatan telekom China, Huawei berkata hari ini bahawa hasil pendapatan telah meningkat 40 peratus setahun-ke-setahun dalam separuh pertama tahun 2016, dirangsang oleh pertumbuhan lancar dalam penjualan telefon pintar.

Jumlah hasil jualan mencecah 245.5 bilion yuan (AS$36.7 bilion) pada Januari hingga Jun, keputusan diaudit yang dikeluarkan dalam kenyataan syarikat tersebut.

Syarikat itu tidak memberikan penguraian mengenai jumlah tersebut.

“Kami yakin yang Huawei akan mengekalkan momentum semasanya, dan kedudukan kewangan positif sepanjang tahun yang disokong oleh operasi berterusan,” kata ketua pegawai kewangan Huawei, Sabrina Meng.

Huawei merupakan salah satu pembekal terbesar rangkaian infrastruktur global, namun produk penggunanya kurang dikenali di luar China.

Perniagaan penggunanya, termasuk jualan telefon pintar, telah menyokong kukuh prestasi syarikat, meningkat 73 peratus kepada 129.1 bilion yuan tahun lepas.

Huawei memiliki lebih lapan peratus daripada pasaran telefon pintar dunia pada tahun lepas, sehingga meletakkannya di tempat ketiga setelah Samsung dan Apple, kata Pertubuhan Data Antarabangsa (IDC) dalam laporan tahun ini. – AFP