Hasil minyak KOTIBA menurun

Hasil minyak KOTIBA menurun

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Stesen Minyak Koperasi Persatuan TIBA dengan Tanggungan Berhad (KOTIBA) mencatatkan penurunan ketara iaitu kira-kira 13 peratus dalam penjualan minyak pada tahun 2015 berbanding dengan tahun sebelumnya.

Pengerusi KOTIBA, Haji Rosdi Amin bin Dato Paduka Haji Yaakub berkata, hasil jualan minyak di stesen minyak milik koperasi itu di Salambigar turun daripada $410,236 pada 2014 kepada $357,732 pada 2015.

Menurut beliau, penurunan tersebut berpunca daripada masalah penghantaran bekalan minyak yang tidak konsisten dengan tidak mengikut jadual pesanan yang ditetapkan, dan disebabkan oleh kerosakan pengangkutan.

Deretan kenderaan yang panjang, menyebabkan pembeli yang baru sahaja tiba, membatalkan hasrat untuk masuk ke stesen minyak dan mencari alternatif lain dan keupayaan tenaga manusia seperti atendan pam yang sering tidak hadir bertugas dan tidak ada pemantauan yang ketat.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Agung Stesen Minyak Koperasi Persatuan TIBA dengan Tanggungan Berhad (KOTIBA) ke-32 yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, Kampung Salambigar petang ini. Mesyuarat dihadiri lebih 80 ahli KOTIBA.

Haji Rosdi Amin berkongsi Laporan Tahun 2015 semasa mesyuarat dijalankan.
Haji Rosdi Amin berkongsi Laporan Tahun 2015 semasa mesyuarat dijalankan.

Menurut Haji Rosdi Amin, bagi menangani masalah-masalah ini, Lembaga Pengarah Sesi 2015-2016 telah dan sedang berusaha untuk membuat transformasi khususnya dalam bidang pentadbiran Stesen Minyak KOTIBA.

“Hasil penilaian sistem urus tadbir yang ada sekarang menunjukkan ia belum mencapai tahap yang optimum. Sebagai contoh ada beberapa ketika, pam-pam minyak ditutup semasa waktu puncak. Sedangkan waktu-waktu seperti ini, kita memerlukan perkhidmatan seimbang dengan keadaan tersebut.

“Oleh itu kita perlu membuat penukaran semula struktur pentadbiran stesen minyak KOTIBA dengan cara mengukuhkan pengurusannya. Pasukan pengurusan dan pentadbiran baru ini akan bertindak secara bersepadu dan holistik sekaligus merangkumi tanggungjawab ke atas KOTIBA dan juga hal ehwal Persatuan KOTIBA,” katanya.

Menurut Haji Rosdi, pasukan pengurusan ini akan turut menitikberatkan pengawalan ketat urusan kewangan, meningkatkan perkhidmatan kepada pelanggan dan juga memperkenalkan program penghargaan dan imbalan yang lebih menarik kepada pekerja-pekerja Stesen Minyak KOTIBA. Dalam konteks pentadbiran dan pengurusan, Lembaga Pengarah sepatutnya menumpukan kepada isu-isu strategik dan bukan mengikuti isu-isu operasi seharian.

Mengenai prestasi koperasi secara keseluruhan, beliau berkata, sejak tahun 2000, KOTIBA masih berjaya membahagikan keuntungan saham setiap tahun sehingga sekarang. Sejak tahun 2000 sehingga tahun 2014 sahaja, pulangan dividen yang diberikan kepada pemegang saham adalah sebanyak 177 peratus.

Katanya, jika momentum perniagaan dapat dipelihara dengan baik, sasaran akan mencapai 200 peratus saham diberikan kepada ahli dapat dicapai pada tahun 2017.

ARTIKEL YANG SAMA