Hasil padi terjejas teruk

Hasil padi terjejas teruk

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 6 Mei – Para penanam padi sawah di Lot Sengkuang, Labi berhadapan dengan hasil jualan paling teruk dalam sejarah akibat cuaca kering bermula sejak awal tahun ini, ditambah lagi dengan ketiadaan infrastruktur pengairan dan sistem saliran di kawasan itu.

Lot Sengkuang, Labi, merupakan kawasan penanaman padi terbesar di Daerah Belait, selain Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) bagi penanaman padi tunggal yang aktif di daerah ini dengan kawasan seluas 300 hektar, dan menjadi pengeluar terbesar beras di sini.

Bagaimanapun, hasil padi di kawasan berkenaan semakin menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini daripada 192 metrik tan pada tahun 2008 kepada hanya 54 metrik tan tahun lepas.

Walaupun telah diwartakan sebagai KKP oleh kerajaan, kawasan sawah berkenaan tidak pernah mempunyai sistem pengairan dan para petani hanya bergantung kepada bekalan air dari Sungai Rampayoh terus ke Sengkuang.

Menurut beberapa orang penanam padi di sana, air memainkan peranan yang sangat penting dalam sistem penanaman padi, dan banjir pada bulan-bulan tertentu dalam setahun di kawasan Labi sedikit sebanyak telah membantu membasahi tanah.

Haji Mohd Sofian bersama pekerjanya menjemur padi yang sudah dituai.
Haji Mohd Sofian bersama pekerjanya menjemur padi yang sudah dituai.

Ketua yang dilantik bagi Lot Sengkuang, Awang Haji Mohd Sofian bin Mohd Yassin, semasa ditemui hari ini, memberitahu, sebelum ini Sungai Rampayoh telah tersumbat akibat batang balak serta ranting kering, tetapi telah dibersihkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai sebahagian daripada projek tebatan banjir bagi menghalang padi daripada musnah jika arus air terlalu desar mengalir ke kawasan sawah.

“Sebelum ini Sungai Rampayoh telah tersumbat akibat batang balak dan ranting kering, kemudian telah dibersihkan oleh JKR sebagai sebahagian daripada projek untuk mengurangkan banjir di kawasan itu,” katanya.

Menurutnya pada masa ini, pilihan penanam padi untuk mendapatkan bekalan air dari parit hanya menggunakan mesin pam, bagaimanapun paras air telah menurun sejak tahun lalu, dan semua pam milik kerajaan dipindahkan dari Labi.

“Pada masa ini, mereka yang berkemampuan membeli sendiri pam air, tetapi kurang kuasa berbanding yang disediakan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan (DAA). Bagaimanapun, saya tidak dapat menggunakan air parit kerana hampir kering,” tambah Haji Mohd Sofian, yang kini sudah berusia 69 tahun.

Beberapa minggu lalu, petani di Lot Sengkuang telah menyerahkan hasil tuaian mereka kepada DAA Stesen Labi untuk ditimbang, di mana ada yang datang dengan hasil serendah satu guni beras sahaja.

“Disebabkan tiada sistem pengairan, kami hanya bergantung kepada hujan, tetapi sejak awal tahun ini cuaca panas dan kering, dan hujan turun kurang daripada yang diperlukan,” kata Awang Jaya Ambun, yang hanya menghasilkan 33 kilogram Beras Laila dari sawah seluas dua ekar yang diusahakan bersama isterinya.

Manakala Awang Jamit Gidang, 50, yang tinggal di dangau berdekatan sawahnya semasa musim menuai, hanya mendapat satu tan padi hasil sawah seluas dua ekar, dan mendakwa keluaran padinya kurang daripada 800 kilogram seperti yang biasa diperolehnya.

“Tahun ini saya cuba menanam BDR5 untuk kali pertama di samping padi tradisi lain yang sepatutnya lebih tahan kemarau, tetapi hasilnya kurang daripada apa yang biasa saya peroleh sebelum ini,” kata beliau.

Haji Mohd Sofian, yang sebelum ini pernah dianugerahkan sebagai petani paling berjaya setelah menghasilkan 50 tan padi empat tahun berturut-turut, mengalami kerugian berjumlah $5,000 tahun ini selepas hanya mengumpul 880 kilogram daripada kawasan seluas 1.6 hektar mengikut catatan DAA.

Beliau turut memberitahu, ekoran bekalan air dari Sungai Rampayoh semakin menurun, hasil padi juga menurun dan ramai petani membuat keputusan untuk meninggalkan Lot Sengkuang.

“Masalah kekurangan air dan ketiadaan sistem pengairan sudah banyak kali dibangkitkan kepada pihak berkuasa, dan sekarang ini kami hanya mampu berharap dan menunggu,” kata beliau.

Infrastruktur menaik taraf sistem pengairan telah dinyatakan kepada umum beberapa kali oleh Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama pada tahun 2013, apabila menteri sebelum ini mengenalpasti Lot Sengkuang sebagai tempat pengeluaran padi berskala besar yang akan dilengkapi sistem saliran dan pembentungan.

Jabatan yang dipertanggungjawabkan telah menilai kawasan berkenaan, bagaimanapun projek penilaian bertajuk ‘Bekalan Air dan Sistem Pengairan di Sengkuang, Sungai Liang dan Labi Baru’, masih belum dilaksanakan.

ARTIKEL YANG SAMA