Hasil pelancongan perubatan cecah RM4.2 bilion menjelang 2020

Hasil pelancongan perubatan cecah RM4.2 bilion menjelang 2020

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Kerajaan menyasarkan menjana RM4.2 bilion hasil pelancongan perubatan menjelang 2020 menerusi aktiviti pemasaran yang agresif selain meningkatkan perkhidmatan sedia ada, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Lee Chee Leong.

Beliau berkata bagi memenuhi sasaran tersebut, Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) dipertanggungjawabkan untuk memajukan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan serba lengkap di Malaysia untuk menarik pelancong perubatan di Asia, terutama dari China.

“Tahun lepas, industri ini mencatatkan RM914 juta jumlah hasil daripada 859,000 pelancong perubatan, dan tahun ini kami menyasarkan satu juta pelancong,” katanya semasa melancarkan pusat terapi dan pemulihan, Your Physio Sdn Bhd, di sini hari ini.

Menurut Lee, sebahagian besar pelancong terdiri daripada warga Indonesia, India, Jepun, United Kingdom dan Australia. Malaysia juga menarik minat pelancong China, Vietnam, Myanmar, Bangladesh, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

“Antara destinasi kegemaran pelancong perubatan ialah Pulau Pinang, Melaka Johor dan Kuala Lumpur,” katanya.

Lee juga berkata kerajaan akan terus menawarkan lebih banyak insentif dan pengecualian cukai untuk hospital swasta bagi merangsang industri pelancongan perubatan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Your Physio Joshua Tan berkata pusat tersebut menyediakan pelbagai perkhidmatan perubatan, termasuk pengurusan sakit dan pemulihan neurologi. – Bernama