Hasrat adakan jerayawara tangani isu peniagaan

Hasrat adakan jerayawara tangani isu peniagaan

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 26 April – Bagi membantu penduduk di Perumahan Kampung Panaga 2000 dalam memastikan sebarang perusahaan yang dikendalikan di kampung tersebut mendapat kebenaran berniaga serta lesen yang sah, satu jerayawara khusus dihasrat akan diadakan di kampung berkenaan.

Haji Hassan bin Tuah dari Fokal Point kampung berkenaan, sedang dalam proses untuk menganjurkan jerayawara berkenaan yang tertumpu pada bidang perniagaan supaya penduduk di sekitar kampung berkenaan akan dapat memahami dan mematuhi peraturan dalam mengendalikan sebarang perniagaan di kampung itu.

Bercakap kepada Media Permata ketika ditemui petang tadi, beliau menyuarakan hasrat untuk mempelawa agensi-agensi kerajaan yang berkaitan seperti dari Darussalam Enterprise (DARe), Kementerian Kesihatan dan sebagainya untuk bercakap dalam sebuah forum atau dialog bersama penduduk mengenai prosedur tertentu dalam melakukan perniagaan dan proses lesen yang sah serta amalan kebersihan dalam berniaga terutamanya dalam penjualan makanan kecil-kecilan.

“Jerayawara ini diharap agar penduduk yang tinggal di sekitar kampung ini akan dapat hadir bagi sama-sama mengambil pengetahuan yang berguna kerana di sini ada yang mengendalikan perniagaan bukan sahaja makanan malahan perniagaan mencuci kereta dan juga bengkel membaiki kenderaan,” jelasnya lagi.

Keadaan halaman sebuah rumah yang mengusahakan perniagaan pembaikan kereta di kampung tersebut.
Keadaan halaman sebuah rumah yang mengusahakan perniagaan pembaikan kereta di kampung tersebut.

Haji Hassan juga menyatakan bahawa beliau sudah menulis surat kepada Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap untuk mendapatkan sokongannya bagi mengadakan jerayawara tersebut khusus bagi penduduk di Perumahan Kampung Panaga 2000 dan kini masih menunggu jawapan.

Mengambil contoh perniagaan-perniagaan yang menjual makanan dari rumah, beliau menyuarakan persoalan seperti aspek kesihatan yang diambil bagi menyediakan makanan-makanan tersebut dan juga dalam membuka perniagaan bengkel membaiki kenderaan di mana banyak kenderaan terbiar menimbulkan kurang senang segelintir penduduk dari segi pemandangan.

“Sering kali orang ramai yang melalui kenderaan mereka di Jalan Kanawai akan dapat melihat beberapa buah kereta yang ditinggalkan di tepi jalan, ianya tidak elok jika orang ramai dari luar kampung melihat persekitaran sebegini di mana kereta-kereta yang rosak dibiarkan ditumbuhi rumput,” ujarnya lagi.

Beliau melahirkan kebimbangan jika dibiarkan tanpa sebarang tindakan akan menjadi tempat bagi orang yang tidak bertanggungjawab berniat untuk mencuri atau dijadikan tempat melepak.

Maka dengan jerayawara perniagaan ini, beliau berharap akan dapat memupuk rasa bertanggungjawab pemilik bengkel kereta dan juga pemilik perniagaan yang lain untuk sama-sama belajar mematuhi undang-undang negara berkaitan dalam mengendalikan sebarang jenis perniagaan di sini.

ARTIKEL YANG SAMA