Hasrat Brunei Beruang Blazers tercapai

Hasrat Brunei Beruang Blazers tercapai

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Hasrat pasukan bola keranjang tempatan, Brunei Beruang Blazers, untuk beraksi dalam liga bola keranjang EBL menjadi kenyataan apabila Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA) secara rasmi menyokong penyertaan mereka dalam Liga Bola Keranjang EBL Yuwang ke-2 melalui majlis penandatanganan perjanjian yang berlangsung di Gelanggang Persatuan Bola Keranjang Brunei, Batu Bersurat, baru-baru ini.

Majlis penandatangan itu menyaksikan BBA diwakili oleh Presiden BBA, Lim Ting Guan dan wakil daripada Brunei Beruang Blazers, Wira Pori menandatangani perjanjian dengan disaksikan oleh Timbalan Pengerusi BBA, Khoo Eng Cheong.

Turut hadir menyaksikan penandatanganan itu ialah wakil dari EBL Sports and Event Sdn Bhd, Nicholas Teo.

Wakil daripada BBA selepas penandatanganan itu, menyatakan perasaan gembira dengan penyertaan Brunei Beruang Blazers dalam kejohanan liga bola keranjang yang bakal menyaksikan pasukan dari Brunei beraksi menentang pasukan-pasukan dalam liga berkenaan termasuk dari Labuan dan Kuching.

BBA menyokong usaha untuk mengembangkan lagi penyertaan pemain-pemain tempatan dalam kejohanan serantau dan percaya bahawa pendedahan pemain tempatan dalam kejohanan itu akan dapat meningkatkan lagi mutu pemain tempatan serta meningkatkan profil negara dalam sukan berkenaan.

Wira (kiri) dan Lim Ting Guan (kanan) menunjukkan perjanjian yang ditandatangani dengan disaksikan oleh wakil daripada BBA dan EBL.
Wira (kiri) dan Lim Ting Guan (kanan) menunjukkan perjanjian yang ditandatangani dengan disaksikan oleh wakil daripada BBA dan EBL.

Sementara itu, Nicholas Teo menyatakan bahawa EBL amat mengalu-alukan penyertaan Brunei Beruang Blazers dalam kejohanan liga berkenaan dan pada masa yang sama, menyatakan pelan liga berkenaan untuk menyaksikan penyertaan lebih banyak pasukan dalam kejohanan itu.

Beliau berkata bahawa rancangan bagi liga itu adalah untuk meningkatkan jumlah pasukan iaitu daripada enam pasukan kepada lapan pasukan di masa akan datang serta berharap untuk mengembangkan lagi penyertaan dalam liga kejohanan pasukan Borneo itu dengan mengalu-alukan penyertaan daripada pasukan-pasukan bola keranjang dari Indonesia yang berminat.

Manakala itu, Wira Pori berkata bahawa pemain-pemain pasukannya telah tekun mengadakan latihan intensif sebagai persediaan untuk beraksi dalam perlawanan liga berkenaan dengan harapan untuk menunjukkan saingan yang hebat menentang pasukan-pasukan dalam kejohanan itu.

Beliau menambah bahawa harapan adalah untuk memberikan yang terbaik dan juga menjuarai liga berkenaan tetapi perkara yang penting ia memberikan pendedahan yang berguna kepada pemain tempatan dan pemain muda pasukan serta meningkatkan mutu permainan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA