Hasrat capai kejayaan di peringkat antarabangsa

Hasrat capai kejayaan di peringkat antarabangsa

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Julai – “Jika diberikan peluang dan kepercayaan suatu hari nanti setelah berhenti daripada persada pertandingan dan kejohanan, saya suka untuk mencurahkan bakti bukan sebagai atlet akan tetapi sebagai jurulatih kepada generasi atlet baru negara.”

Perkara itu antara dikongsikan oleh pelari pecut kebangsaan wanita, Dayang Maziah Mahusin ketika ditemui baru-baru ini ketika sesi latihannya di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

“Saya sangat komited untuk membantu para atlet lain kerana itu yang saya suka dan saya hasratkan kerana pada saya pengalaman yang ada pastinya boleh dikongsi bersama mereka dan ia pasti akan membantu membangunkan dan meningkatkan lagi mutu sukan olahraga tempatan,” ujarnya.

Beliau yang bakal menyertai Sukan Antara Universiti Asia Tenggara di Singapura akan membawa nama Kolej Perniagaan Laksamana (LCB) di dalam kejohanan terbesar bagi sukan antara universiti di rantau ini itu.

“Penyertaan kali ini merupakan penyertaan terakhir saya buat tahun ini bagi membolehkan pemulihan kepada kecederaan tendon kaki yang saya alami sejak penyertaan dalam kejohanan yang berlangsung di Arafura sebelum ini,” tegasnya lagi.

Maziah Mahusin ketika ditemui baru-baru ini.
Maziah Mahusin ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau kini giat berlatih untuk menyampaikan cita-citanya memecahkan rekod Sukan Asia Tenggara 2011 di Kuala Lumpur yang dicatatkan oleh Alinawati binti Abu Bakar dengan masa 25.22 saat dalam acara 200 meter.

Apabila ditanya mengenai perkembangan tahun 2016 ini katanya beliau sudah menyertai beberapa kejohanan antaranya acara 400 meter di Terbuka Kebangsaan Filipina dan meraih gangsa di dalam acara 200 meter di belakang pemenang pingat emas, Shanti Pereira.

Katanya, “Saya terpaksa menolak jemputan di dalam Kejohanan Olahraga Antara Bandar Hong Kong beberapa minggu lalu kerana persiapan dan fokus kepada sukan universiti yang akan dilaluinya beberapa hari lagi”.

Dayang Maziah yang kini berjaya membuat catatan 25.44 saat berharap supaya kecederaan yang dialaminya tidak akan menjadi penghalang untuknya mencapai hasratnya itu.

“Saya berharap untuk me-mecahkan rekod kebangsaan dalam acara 200 meter dan saya yakin ia boleh dicapai jika saya fokus dan terus berlatih,” ujar atlet Wanita Olimpik Brunei yang pertama itu lagi kepada Media Permata.

Menurutnya untuk mencapai kejayaan kita perlu berusaha dan berkorban dan setakat ini katanya beliau akan terus berjuang untuk mengharumkan nama negara di dalam acara apa jua acara yang bakal disertainya di dalam sukan olahraga.

“Tahun ini saya mungkin sedikit sepi kerana saya juga terpaksa menelaah pelajaran dan lebih mencabar kerana tahun ini merupakan tahun akhir pengajian saya di LCB dan itu juga suatu keutamaan yang tidak boleh saya lupakan,” tegasnya.

ARTIKEL YANG SAMA