Hati-hati ideologi baru

Hati-hati ideologi baru

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Sept – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri bersabda mengingatkan masyarakat agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terjebak dengan mana-mana ideologi baru yang bertentangan dengan prinsip akidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang merupakan sendi terpenting dan pegangan masyarakat Islam di negara ini sejak sekian lama.

Sabda Duli Yang Teramat Mulia, kecepatan penyebaran maklumat tanpa sempadan masa ini turut memberikan cabaran kepada agama kita, khususnya kewujudan kepelbagaian aliran kefahaman yang semakin meluas.

“Sayugia diingatkan jangan semudahnya menghukum, apatah lagi jika hanya bersandarkan pembacaan yang sangat terhad seperti artikel atau beberapa buah buku. Jika terdapat sebarang persoalan atau permasalahan, maka perlulah merujuk kepada ilmuwan-ilmuwan Islam yang diiktiraf oleh kerajaan,” sabda Duli Yang Teramat Mulia sempena Majlis Haflu Takharruj Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) kali ketiga yang berlangsung di Dewan Pusat Antarabangsa, di Berakas hari ini.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya bersabda, ini kerana, walaupun mungkin ia dilihat logik pada akal, tetapi Islam tidak berdiri pada logik semata, bahkan sesuatu hukum mahupun keputusan itu hendaklah disandarkan kepada Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas.

“Di sinilah pentingnya bagi pihak-pihak yang berkenaan supaya sentiasa peka kepada apa-apa yang berlaku yang boleh menimbulkan salah faham dan perbalahan, yang akhirnya membawa perpecahan umat Islam di Negara Brunei Darussalam yang tercinta ini.”

DYTM Pengiran Muda Mahkota dijunjung berangkat ke Majlis Haflu Takharruj Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bokiah di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berkas kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
DYTM Pengiran Muda Mahkota dijunjung berangkat ke Majlis Haflu Takharruj Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bokiah di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berkas kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ke majlis tersebut dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman. Turut berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Duli Yang Teramat Mulia dalam sabdanya turut bersyukur bahawa sejak 1993 hingga sekarang ITQSHHB telah berjaya melahirkan lebih 200 orang huffaz, dengan 40 daripada mereka lulus Ujian Tasmie Menghafaz Al-Quran 30 juzuk peringkat negara.

“Tidak syak lagi, tanggungjawab sebagai seorang penghafaz Al-Quran adalah sangat mencabar dan memerlukan penjagaan keterampilan diri dari kedua-dua aspek kerohanian dan juga lahiriah.

“Memelihara kedua-dua aspek tersebut perlulah dilihat secara serius terutama sekali pembawaan diri dalam pergaulan. Ini kerana seorang penghafaz itu dilihat sebagai role model terbaik dan mulia daripada pandangan masyarakat, selain menjurus kepada akhlak Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.”

Duli Yang Teramat Mulia juga menyeru para graduan yang diraikan untuk terus menuntut ilmu Al-Quran dan yang ada kaitan dengannya.

“Kuatkan lagi azam untuk meningkatkan ilmu pengetahuan yang sedia ada. Ini termasuk dengan mengikuti kursus-kursus pengajian yang bersesuaian yang disediakan oleh kerajaan Paduka Ayahanda.

“Mudah-mudahan dengan cara ini akan bertambahlah lagi bilangan orang-orang yang berilmu tinggi, khususnya daripada kalangan para penghafaz Al-Quran di negara ini sebagai penyebar ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat.

“Menyentuh mengenai penyebaran ilmu yang diperoleh dari Al-Quran, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam pernah bersabda yang bermaksud; ‘Sebaik-baik kami ialah orang yang belajar Al-Quran kemudian mengajarkannya kepada orang lain.”

Tambahan lagi, kedudukan orang yang berilmu mempunyai tempat yang teristimewa di sisi Allah Taala, Tuhan pemilik segala ilmu, sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Mujadalah ayat 11 yang kira-kira bermaksud; “Allah Taala mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat.

Natijahnya, sabda Duli Yang Teramat Mulia, apa yang kita harapkan ialah para siswa dan siswi tidak hanya memberikan perhatian setakat hafalan Al-Quran semata-mata sebaliknya perlu mempelajari ilmu-ilmu lain yang pada hakikatnya juga penting dan mampu menambah nilai dalam usaha untuk lebih memahami serta menghayati Al-Quran itu sendiri.

“Dalam perkara mempelajari Al-Quran, Paduka Ayahanda dalam titah Baginda pada Majlis Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 2013, turut mengingatkan bahawa berguru itu ada keberkatan apabila membaca Al-Quran, berbeza daripada semata-mata bergantung pada buku atau internet yang mana orang boleh melakukan kesilapan atau keliru.”

Sabda Duli Yang Teramat Mulia, pendekatan berguru itu sudah tentu mampu melengkapkan keupayaan setiap graduan untuk menonjolkan diri dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat, terutama dalam membimbing para belia ke arah merealisasikan ajaran Al-Quran dalam kehidupan.

Duli Yang Teramat Mulia mengakhiri sabda dengan mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan hari ini seraya menambah bahawa, kejayaan mereka itu tidak akan terhasil tanpa adanya semangat gigih, usaha sama dan komitmen pelbagai pihak para ibu bapa, penjaga, tenaga pengajar serta warga ITQSHHB.

ARTIKEL YANG SAMA