Hati-hati musim cuti sekolah

Hati-hati musim cuti sekolah

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Sept – Sempena Musim Cuti Persekolahan Ketiga Tahun 2015, yang bermula esok hingga 13 September, Pasukan Polis Diraja Brunei menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan mengambil langkah-langkah keselamatan terutamanya semasa hendak meninggalkan rumah.

Dalam kenyataannya, di sini, hari ini, Pasukan Polis Diraja Brunei berkata balai-balai atau pos polis yang berdekatan hendaklah dimaklumkan tentang tarikh pemergian bagi bertujuan pemantauan dan rondaan semasa rumah tersebut ditinggalkan.

Penghulu dan ketua kampung juga hendaklah dimaklumkan bagi sama-sama mematai dan mengelakkan kejadian pecah rumah berlaku di rumah yang tidak berpenghuni.

Selain itu, pagar, pintu dan jendela rumah hendaklah sentiasa dipastikan tertutup dan berkunci dengan kunci yang kukuh serta jangan membiarkan barang-barang berharga ditinggalkan di luar kawasan rumah yang boleh menjadi daya tarikan kepada penjenayah.

Segala wang, barang-barang kemas dan barang-barang bernilai hendaklah disimpan di tempat-tempat yang difikirkan selamat dan mudah diketahui.

Bagi mereka yang berhasrat hendak keluar negara pula dinasihatkan supaya memaklumkan kepada keluarga terdekat atau jiran yang berhampiran untuk memata-matai rumah dan sekitar kawasan luar rumah.

Lampu di luar rumah seboleh-bolehnya hendaklah dinyalakan pada waktu malam terutamanya di tempat-tempat yang senang dilihat.

Pasukan Polis Diraja Brunei juga menasihatkan ibu bapa dan penjaga kanak-kanak supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka dan jangan membiarkan mereka balik lewat malam dan memastikan mereka tidak berkumpul di kawasan-kawasan awam atau lepak sepanjang malam serta terlibat dengan aktiviti jenayah dan aktiviti sosial yang tidak sihat.

Aktiviti kanak-kanak hendaklah sentiasa diambil perhatian yang tegas dan diikuti dari semasa ke semasa terutama bagi mereka yang selalu melayari Internet kerana dikhuatiri akan melayari laman-laman sesawang berunsur negatif yang akan melibatkan mereka kepada aktiviti kurang sihat dan masalah sosial.

Selain itu, jika meninggalkan kereta untuk ke kedai atau meninggalkan kereta untuk seketika pastikan enjin kereta dimatikan dan dikunci bagi mengelakkan kereta dicuri.

Jika terdapat apa-apa juga perkara yang dilihat mencurigakan, orang ramai diseru untuk memaklumkan dengan segera kepada pihak polis atau pihak-pihak berkenaan seperti penghulu atau ketua kampung yang mana tindakan seterusnya dapat ditangani oleh pihak berkenaan.

Pasukan Polis Diraja Brunei menggesa orang ramai supaya melaporkan dengan segera kepada talian kecemasan 993 atau menghubungi balai-balai polis yang berdekatan. Maklumat yang diberikan akan membantu pihak polis dalam menangani jenayah yang mungkin akan berlaku terhadap keluarga mereka, jiran dan orang lain.

ARTIKEL YANG SAMA