Hatrik Azizi bantu MS ABDB benam IKLS

Hatrik Azizi bantu MS ABDB benam IKLS

TUTONG, 12 Ogos – Empat ledakan gol pada separuh masa kedua termasuk hatrik Abdul Azizi bin Ali Rahman memberikan kemenangan selesa 5-0 MS ABDB ke atas IKLS FC malam tadi.

Kemenangan keduanya dalam tempoh lima hari itu membolehkan MS ABDB menghuni puncak Liga Super DST dengan 21 mata selepas tujuh perlawanan, tiga mata di depan juara bertahan, Indera SC, yang baru bermain enam kali.

Abdul Azizi menjaringkan gol sulung MS ABDB pada minit kesembilan babak pertama perlawanan di Kompleks Sukan Tutong.

Walaupun IKLS FC berjaya menghalang tambahan gol lawan pada babak pertama, amukan babak kedua MS ABDB sukar dibendung terutama 18 minit selepas rehat dengan jaringan Mohamad Aliuddin bin Haji Besar pada minit ke-63.

Abdul Azizi menjaringkan gol kedua dan ketiga pasukan dua minit kemudian, dan dua minit berselang beliau melengkapkan hatriknya untuk menambah pendahuluan MS ABDB kepada 4-0.

Hatrik Abdul Azizi (kanan, belakang) membantu MS ABDB membelasah IKLS FC 5-0 dalam aksi Liga Super semalam.
Hatrik Abdul Azizi (kanan, belakang) membantu MS ABDB membelasah IKLS FC 5-0 dalam aksi Liga Super semalam.

Soldadu (U) Mohammad Mazazizi bin Mazlan menambah derita IKLS FC dengan jaringan kelima tujuh minit sebelum masa sebenar tamat sekali gus memuktamadkan kedudukan kepada 5-0.

Pada 8 Ogos lalu, MS ABDB mencatat kemenangan keenam dengan menewaskan Lun Bawang 2-0 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah. Kedua-dua golnya hadir pada separuh masa pertama melalui jaringan Mohammad Khairuddin bin Abdul Kadir pada minit kelapan dan gol Affendy bin Haji Akup pada minit ke-21. – Hasrulraizan

ARTIKEL YANG SAMA