Hatrik bantu NJP benam BIO

Hatrik bantu NJP benam BIO

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Mohd Zamree membantu NJP FT mengejutkan BIO FT dalam aksi perlawanan kedua Kumpulan B Futsal Piala Perdana TelBru 2015 malam tadi apabila mencatatkan hatrik berganda.

Mohd Zamree sudah awal membawa NJP FT ke depan, 1-0, melalui tandukannya pada minit pertama sebelum menjadikan kedudukan 2-0 selang empat minit kemudian.

Kedudukan menjadi bertambah selesa, 3-0, buat NJP FT pada minit ketujuh menerusi jaringan Mohd Nor Ariff, namun dua gol pantas BIO FT iaitu pada minit ke-12 oleh Mohd Ali dan ke-13 oleh Mohd Khairul Saifuddin menjadikan kedudukan rapat semula, 3-2.

Pada perlawanan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu Mohd Zamree menghasilkan hatrik pertamanya pada minit ke-16, disusuli jaringan keempat peribadinya tiga minit kemudian untuk NJP FT mendahului BIO FT 5-2 ke masa rehat.

BIO FT pantas memberikan saingan pada babak kedua dengan penghasilan dua gol pantas pada minit ke-23, masing-masing oleh Mohd Ali dan Mohd Izrat, untuk kedudukan kini menjadi 5-4.

Mohd Zamre (biru) ketika menjaringkan gol pertama NJP FT semasa menentang BIO FT semalam.
Mohd Zamre (biru) ketika menjaringkan gol pertama NJP FT semasa menentang BIO FT semalam.

Hanya seminit berselang kedudukan menjadi 6-4 apabila Mohd Zamree mencatat namanya dalam senarai penjaring buat kali kelima. Namun Mohd Khairul Saifuddin kembali merapatkan jurang jaringan dengan jaringannya pada minit ke-25 untuk kedudukan jaringan berubah menjadi 6-5.

Mohd Zamree sekali lagi menjadi pemusnah, kini dengan jaringan keenam peribadinya pada minit ke-26, sebelum Mohd Azizi pula menyumbangkan gol tunggal peribadinya pada minit ke-35, yang memuktamadkan perlawanan pada jaringan 8-5.

Kemenangan 8-5 itu membolehkan NJP FT menghuni tangga teratas Kumpulan B dengan tiga mata, sama mata dengan Hi-Tune SC yang menang 6-5 ke atas Creativol dalam perlawanan lebih awal.

Futsal Piala Perdana TelBru 2015 akan diteruskan pada Jumaat, 14 Ogos dengan dua perlawanan dalam Kumpulan A iaitu Samba FT lawan BMB FT dan 1st Five lawan PES, masing-masing bermula jam 8 malam dan 9:30 malam, di Stadium Tertutup KSNHB.

ARTIKEL YANG SAMA