Hatrik Ibra bantu tewaskan Nice

Hatrik Ibra bantu tewaskan Nice

PARIS, 3 April (AFP) – Zlatan Ibrahimovic meledak hatrik bagi membantu Paris Saint Germain (PSG) menewaskan Nice 4-1 dalam saingan Ligue 1 Perancis, awal pagi tadi. Ia dianggap perlawanan pemanas badan sebelum PSG bertemu Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi Khamis ini.

Tiga gol yang dijaringkan Ibrahimovic menyaksikan dia kini merekodkan 30 dalam saingan liga musim ini dan David Luiz turut meletakkan namanya sebagai penjaring awal pagi tadi buat PGS yang mengesahkan kejuaraan liga buat kali keempat berturut-turut dengan berbaki lapan perlawanan, bulan lalu.

Satu gol Nice dijaringkan oleh Hatem Ben Arfa pada minit ke-18. Kemenangan itu pastinya menyuntik semangat PSG sebelum melayan kunjungan City untuk aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara.

“Kredit wajar diberikan kepada semua pemain, secara jujurnya kami tidak melakukan persiapan yang baik untuk perlawanan ini,” kata jurulatih PSG, Laurent Blanc.

“Satu-satunya sesi latihan yang dapat mengumpul semua pemain adalah pada Jumaat. Kami tidak dapat melakukan banyak perkara namun kemenangan ini membuktikan kami mempunyai pasukan yang kuat dan pemain sentiasa mahu mencatat kemenangan”.

Aksi Ibrahimovic mengawal bola ketika perlawanan menentang Nice di Stadium the Parc des Princes. Ibrahimovic berjaya meledak hatrik bagi membantu PSG menewaskan Nice 4-1 dalam saingan Ligue 1 Perancis, awal pagi tadi. - Reuters
Aksi Ibrahimovic mengawal bola ketika perlawanan menentang Nice di Stadium the Parc des Princes. Ibrahimovic berjaya meledak hatrik bagi membantu PSG menewaskan Nice 4-1 dalam saingan Ligue 1 Perancis, awal pagi tadi. – Reuters

Blanc menurunkan kesebelasan utama terbaiknya kecuali dengan penyenaraian pemain muda, Hervin Ongenda yang membuat penampilan ketiga dalam kesebelasan utama untuk saingan liga musim ini dan PSG membuktikan mereka jauh lebih baik berbanding Nice yang memulakan perlawanan di tangga ketiga liga dan turun dengan misi untuk merapatkan jurang dengan Monaco yang berada di atas mereka.

Nice kekal lima mata di belakang Monaco yang menewaskan Bordeaux 2-1, kelmarin tetapi dikejar oleh Rennes yang mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Reims.

“Apabila mereka bermain pada tahap Liga Juara-Juara, mereka sangat sukar untuk ditewaskan,” kata jurulatih Nice, Claude Puel.

“Kecuali PSG, saya fikir kami sudah menewaskan hampir semua pasukan tetapi mereka pada satu tahap berbeza. Pasukan saya adalah yang termuda di Eropah dan PSG pula adalah salah satu daripada empat pasukan terbaik di Eropah”.

ARTIKEL YANG SAMA