Hatrik Jasriman bantu MS PDB benam Hawa FT

Hatrik Jasriman bantu MS PDB benam Hawa FT

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 20 Nov – Jasriman bin Haji Johari menjaringkan hatrik bagi membantu MS PDB menang selesa 5-2 ke atas Kelab Non-Liga, Hawa FT dalam saingan pusingan ketiga Piala FA DST 2015.

Ketua pasukan MS PDB itu membuka tirai jaringan pada minit ke-17 sebelum menambah jaringan peribadi dan pasukannya sepuluh minit kemudian untuk MS PDB mendahului 2-0.

Kedudukan 2-0 itu dilihat kekal dibawa ke separuh masa kedua tetapi Zulhamzi bin Haji Awang memastikan MS PDB lebih selesa mendahului 3-0 dengan jaringannya di minit terakhir separuh masa pertama.

Abdul Hakim bin Ibrahim mencantas pendahuluan MS PDB dengan jaringannya pada minit ke-64 tetapi hanya lapan minit kemudian Jasriman mengembalikan semula jarak tiga gol pasukannya dengan ledakan hatriknya untuk kedudukan berubah menjadi 4-1.

MS PDB menang 5-2 ke atas Hawa FT untuk mara ke peringkat suku akhir Piala FA DST 2015.
MS PDB menang 5-2 ke atas Hawa FT untuk mara ke peringkat suku akhir Piala FA DST 2015.

Walau bagaimanapun, Mohamad Fikri bin Abdullah memberikan sedikit harapan buat Hawa FT apabila mencatat namanya dalam senarai penjaring pada minit ke-80 untuk mendekatkan semula kedudukan jaringan kepada 4-2.

Sebarang sisa semangat kebangkitan Hawa FT dilunturkan sepenuhnya oleh jaringan Mohd Nazirul bin Arsad pada minit ke-88, dua minit sebelum perlawanan masa sebenar tamat, sekali gus memuktamadkan keputusan 5-2.

Pada peringkat suku akhir nanti, MS PDB akan bertemu Indera SC, yang menang bergaya 5-1 ke atas Setia Perdana pada 10 November lalu.