HAWA cantikkan bilik penyusuan KBSentral

HAWA cantikkan bilik penyusuan KBSentral

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 27 Jan – Bagi mencantikkan lagi persekitaran Bilik Penyusuan bagi ibu-ibu yang mengunjungi Pusat Membeli-Belah KBSentral, Kumpulan Sokongan HAWA, hari ini, telah mengadakan aktiviti mewarnai bilik tersebut dengan pelbagai bentuk kartun berwarna-warni bagi menarik hati si kecil dan bagi membisaikan lagi suasana sekelilingnya.

Kumpulan Sokongan HAWA yang diketuai oleh Hajah Masni binti Haji Munir, dalam temu bual bersama pihak media hari ini, menjelaskan bahawa aktiviti tersebut adalah sebahagian daripada program kerjasama dan inisiatif KBSentral bersama-sama Kumpulan Sokongan HAWA dan Hospital Suri Seri Begawan dalam menyediakan tempat kemudahan bagi para ibu yang berhasrat untuk menyusukan anak-anak kecil mereka semasa mengunjungi pusat membeli-belah di sini.

“Pengurusan KBSentral telah mempelawa Kumpulan Sokongan HAWA dalam mewarnai dinding-dinding di sekeliling bilik penyusuan khas yang berada bersebelahan dengan kedai Jaya Hypermart dan kami berasa berbesar hati untuk menyertakan hasil idea lukisan kami semua supaya dapat menceriakan bilik tersebut lagi,” jelasnya lagi.

Beliau menambah, kumpulan mereka berharap akan dapat kembali lagi ke pusat membeli-belah di sini pada bulan Mac atau April dan terus bekerjasama dengan KBSentral untuk mengadakan program jerayawara penyusuan susu ibu.

Ahli HAWA ketika mencantikkan lagi bilik penyusuan di KBSentral.
Ahli HAWA ketika mencantikkan lagi bilik penyusuan di KBSentral.
Hajah Masni ketika ditemu bual wartawan.
Hajah Masni ketika ditemu bual wartawan.

“Insya Allah jikalau ada masa terluang untuk mengadakannya seperti yang dirancang, Kumpulan Sokongan HAWA ingin mengadakan jerayawara selama dua hari, mengadakan aktiviti-aktiviti seperti forum, pertandingan kecil, kuiz dan persembahan daripada ahli-ahli HAWA sendiri dan juga menyediakan petak-petak pameran mengenai fungsi dan peranan HAWA untuk mendedahkan lagi kepentingan dan kebaikan penyusuan susu ibu kepada orang ramai terutamanya sekali kepada para ibu bapa yang baru mempunyai anak,” ujar beliau.

Hajah Masni turut melahirkan penghargaan atas peranan Hospital Suri Seri Begawan dalam menyokong inisiatif Kumpulan Sokongan HAWA dan pameran-pameran lain seperti kaunseling untuk para ibu serta pemeriksaan kesihatan kepada pengunjung ke KBSentral.

“Sementara para pengunjung dan kaum keluarga berada di sini untuk membeli-belah dan atau menjamu selera di sini, mereka juga akan dapat melawati dan mempelajari serba sedikit mengenai usaha dan aktiviti yang HAWA anjurkan di sini nanti.”

Beliau berharap, kerjasama sebegini akan dapat dipupuk dengan erat lagi dan menyatakan bahawa tidak banyak tempat atau kedai di sini yang menyediakan bilik penyusuan khas bagi para ibu.

“HAWA berasa syukur kerana pihak KBSentral memahami usaha CSR (tanggungjawab sosial korporat) yang kami lakukan dan kami menghargai segala peranan dan sokongan yang dimainkan oleh pihak mereka,” ujar beliau yang turut memuji sikap keprihatinan pihak KBSentral.

Dalam masa yang sama Hajah Masni juga mengongsikan aktiviti lawatan mereka ke Hospital Suri Seri Begawan, melawat para ibu yang baru sahaja melahirkan anak, dan berkata kumpulan sokongan itu akan membuat lawatan susulan seterusnya bagi melihat perkembangan ibu-ibu dalam menyusukan anak-anak mereka.

“Ketika ini Kumpulan Sokongan HAWA juga ada menjual sejenis kain khas yang berfungsi sebagai alat penutup bagi penyusuan anak kecil yang dijual pada harga $10 dan kutipan dari hasil jualan tersebut akan dimasukkan dalam tabung HAWA,” tambah beliau.