Hawa FT mara pusingan kedua

Hawa FT mara pusingan kedua

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Empat gol pada separuh masa pertama sudah cukup untuk melayakkan Hawa FT ke pusingan kedua Piala FA-DST 2015 dan menentang pasukan dari Liga Perdana DST 2015, Panchor Murai FC pada 7 Oktober di Kompleks Sukan Berakas.

Jaringan pembuka tirai perlawanan antara Hawa dengan Great United itu ternyata bukan terhasil dari jaringan pemain Hawa tetapi jaringan sendiri pertahanan Great United, Awangku Mohd Asyraf Aditya bin Pengiran Khalid.

Jaringan pada minit kesembilan yang membolehkan Hawa mendahului 1-0 menjadi pemangkin untuk meledakkan jaringan kedua lapan minit kemudian yang hadir menerusi rembatan pemain jersi 17-nya, Safuan bin Juhar.

Penjaga gol Great United FC berjaya menampan bola yang tepat menujunya dari rembatan jarak dekat pemain Hawa FT (hijau).
Penjaga gol Great United FC berjaya menampan bola yang tepat menujunya dari rembatan jarak dekat pemain Hawa FT (hijau).

Dua minit berselang, kedudukan menjadi lebih selesa buat Hawa, kini mendahului 3-0 selepas giliran Abdul Hadi Yusri bin Mohd Helmi pula meletakkan namanya atas senarai penjaring perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu.

Ketua pasukan Hawa FT, Mohd Hafizan Hasnal menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-26, yang pelik tetapi kenyataan, menjadi gol terakhir perlawanan kerana selepas itu kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol lagi.

Separuh masa kedua menyaksikan Hawa mencipta banyak peluang terbuka untuk menambah jaringan tetapi kegopohan pemainnya dan rembatan yang tersasar atau tepat kepada penjaga gol lawan di jarak dekat jelas menidakkan kemenangan dengan jaringan lebih besar buat Hawa FT.

ARTIKEL YANG SAMA