Hawa FT mara pusingan ketiga

Hawa FT mara pusingan ketiga

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt – Kelab non-liga, Hawa FT memberi kejutan pertama Piala FA DST 2015 apabila menang besar 7-2 ke atas pemenang tempat ketiga Liga Perdana 2015, Panchor Murai FC malam tadi, sekali gus menjadi pasukan pertama mara ke Pusingan Ketiga.

Walaupun Panchor Murai FC hanya bermain sembilan orang di penghujung permainan, Hawa FT sudah selesa mendahului perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) tersebut degan jaringan 4-0 pada separuh masa pertama, ketika Panchor Murai FC masih dengan 11 pemain.

Safuan Juhar menjadi wira Hawa FT dengan ledakan empat gol, dua jaringan pada setiap separuh masa. Dua gol terakhirnya iaitu gol kelima dan keenam pasukan dianggap sangat penting dalam memadamkan api kebangkitan Panchor Murai FC yang dilihat bangkit mengejar merapatkan jaringan kepada 4-2 setakat minit ke-62 perlawanan.

Jaringan pembuka dan penutup tirai Hawa FT adalah menerusi sepakan penalti, dengan yang pertama hadir pada minit ke-10, disempurnakan oleh ketua pasukan, Mohd Hafizan Hasnal. Empat minit kemudian Safuan membuka akaun jaringannya untuk gol kedua Hawa FT dan pada minit ke-38 dia meledakkan jaringan keduanya untuk Hawa FT mendahului 3-0. Mohd Ghazi bin Haji Ismani memastikan Hawa FT selesa membawa jaringan 4-0 ke babak kedua dengan jaringannya pada minit ke-41.

Panchor Murai FC bermain lebih bertenaga pada babak kedua dengan mendominasi perlawanan sehingga berjaya menjaringkan dua gol tandukan dari hantaran sepakan sudut untuk mendekatkan jurang jaringan yang kini berubah menjadi 4-2.

Safuan ketika meledakkan gol keempat peribadi dan keenam Hawa FT dalam kemenangan besar 7-2 ke atas Panchor Murai FC di Pusingan Kedua Piala FA DST 2015.
Safuan ketika meledakkan gol keempat peribadi dan keenam Hawa FT dalam kemenangan besar 7-2 ke atas Panchor Murai FC di Pusingan Kedua Piala FA DST 2015.

Gol pertama hadir menerusi tandukan Mohammad Fadillah bin Haji Puasa ketika babak kedua baru berlangsung tiga minit dan pada minit ke-62 dia mencipta gol kedua pasukannya dari sepakan sudutnya yang ditanduk oleh ketua pasukan, Muhammad Azrin bin Haji Untong. Api kebangkitan Panchor Murai FC semakin menyala tatkala mereka terus mendominasi perlawanan dan hanya seminit selepas gol kedua itu, bola tendangan Ahmad Asyraf bin Mohd Saudian berjaya menggegar gawang Hawa FT tetapi tidak dikira pengadil kerana pembantu pengadil sudah awal mengangkat bendera setelah menilai dia berada dalam posisi ofsaid.

Ahmad Asyraf dilihat membantah keputusan pengadil itu sehingga menyebabkannya dilayangkan kad kuning kedua dan terus diarahkan keluar padang, menyebabkan Panchor Murai FC kekurangan seorang pemain ketika masih ketinggalan dua gol.

Kelebihan seorang pemain itu membantu Hawa FT mengawal semula permainan dan dalam serangan balas pantasnya pada minit ke-73, Safuan dengan tenang melepaskan diri dari seorang pertahanan Panchor Murai FC sebelum merembat bola ke kiri melepasi kaki penjaga gol Panchor Murai FC yang meluru kepadanya.

Catatan hatrik Safuan itu masih belum mampu menguburkan semangat kebangkitan Panchor Murai FC tetapi jaringan keempatnya untuk gol keenam Hawa FT pada minit ke-81 dalam situasi hampir mirip gol hatriknya lapan minit sebelum, terbukti menjadi pemusnah harapan Panchor Murai FC.

Untuk menjadikan keadaan lebih teruk buat Panchor Murai FC, Haji Mohd Nurfadzillah bin Haji Mohd Yussop yang melakukan bentesan dengan gaya berlebihan sehingga menyebabkan kecederaan buku lali kepada Muizzuddin Jawdi pada minit ke-90+3, menjadi pemain kedua dilayangkan kad merah. Bukan itu saja, kekasaran yang berlaku dalam petak itu turut menyebabkan pengadil terpaksa memberikan sepakan penalti kepada Hawa FT dan Mohd Ghazi tampil menyempurnakannya untuk gol kedua peribadi dan ketujuh pasukan pada minit ke-90+4.

Kini Hawa FT perlu menanti keputusan undian menentukan Kelab Liga Super DST 2015 mana menjadi lawannya di Pusingan Ketiga Piala FA DST 2015 pada 21 Nov di Padang & Balapan, KSNHB bermula 8:15 malam.

ARTIKEL YANG SAMA