HAWA FT sedia berentap

HAWA FT sedia berentap

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 3 Dis – Pasukan HAWA FT sedang giat menjalani latihan intensif di Padang Arena, Seria bagi mewakili Daerah Belait ke Pertandingan Bolasepak ‘9-a-side’ Bawah 12 Tahun anjuran Persatuan Bola sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) yang akan diadakan di Padang Turf NFABD Ahad ini.

Dalam temu ramah bersama Penolong Jurulatih HAWA FT Awang Mohd Riduan bin Nasar, 20 orang pemain telah dipilih bagi pertandingan ini yang akan melihat penyertaan tiga lagi pasukan dari daerah masing-masing iaitu Tutong, Brunei-Muara dan Temburong.

“Kebanyakan daripada mereka sudah lama berlatih bersama-sama dan ada yang pernah menyertai pertandingan liga sekolah-sekolah anjuran Jabatan Kokurikulum Kementerian Pendidikan Cawangan Belait pada bulan April lalu dan hari ini, setelah menjalani proses pemilihan yang berlangsung selama tiga hari, kami sudah berhasil mendapatkan pemain-pemain yang akan berpeluang mengasah bakat-bakat mereka di pertandingan itu nanti,” penolong jurulatih itu berkata.

Pasukan HAWA FT bawah 12 tahun yang kini giat menjalani latihan menjelang kejohanan Ahad ini.
Pasukan HAWA FT bawah 12 tahun yang kini giat menjalani latihan menjelang kejohanan Ahad ini.

“Pemain-pemain ini banyak yang dipilih berdasarkan kebolehan mereka daripada pertandingan bulan April lalu dan ada di antaranya dari beberapa sekolah seperti Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Anthony Abel College dan Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Lumut,” tambahnya lagi.

Ketika ini pasukan bawah 12 tahun HAWA FT sudah mengikuti beberapa aspek latihan intensif di padang Anthony Abel College, Seria setiap hari Jumaat dan Ahad dan pada musim cuti ini mereka menaikkan tahap intensif latihan mereka kepada hampir setiap hari.